Awal pagi 20 September 1988, Tara Leigh Calico memulakan rutin hariannya dengan berbasikal. Sudah menjadi kebiasaan bagi gadis berambut perang itu untuk berbasikal di sekitar kawasan perumahannya di New Mexico.

Cuma sedikit berbeza pada hari itu, Tara tidak menaiki basikalnya sendiri kerana tayar basikalnya pancit. Dia meminjam basikal berwarna merah jambu milik ibunya, Patty Doel. 

Pukul 9.30 pagi, gadis berusia 19 tahun ini keluar meninggalkan pekarangan rumahnya dengan memakai baju sejuk berwarna jingga. Sudah menjadi kebiasaan buat gadis itu untuk mendengar lagu di perakam kaset miliknya ketika berbasikal.

Tara Leigh.

Tara digambarkan sebagai seorang gadis yang teratur dan gemar merancang jadual sehariannya. Kerana itu, Tara telah meminta ibunya untuk datang mencarinya jika dia tidak pulang pada pukul 12.00 tengah hari, kerana Tara telah berjanji untuk bermain tenis bersama kekasihnya sebelum menghadiri kuliah pada pukul 4.00 petang hari yang sama. Tara adalah pelajar di Universiti New Mexico pada ketika itu.

Pukul 12.05 tengah hari, Patty keluar mencari Tara kerana anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah. Patty melalui jalan yang biasa dilalui oleh Tara setiap kali berbasikal namun gagal menemui anaknya itu. Bimbang sesuatu yang buruk terjadi kepada Tara, Patty menghubungi pihak polis.

Setelah 24 jam berlalu, masih tiada berita mengenai Tara. Patty yang runsing bertindak melalui jalan yang biasa dilalui oleh Tara dan akhirnya menjumpai perakam kaset milik Tara ditinggalkan di tepi jalan raya, beberapa kilometer dari rumah mereka.  

Patty percaya, kaset itu ditinggalkan sebagai salah satu cara Tara meninggalkan jejaknya. Berhampiran kawasan perakam kaset itu dijumpai, terdapat kesan tayar yang dipercayai merupakan kawasan berlakunya pergelutan. Namun, Tara dan basikalnya tidak kelihatan.

Menurut saksi yang mengaku melihat Tara berbasikal pada hari dia dilaporkan hilang, terdapat sebuah trak pikap berwarna kelabu mengekori Tara sewaktu dia berbasikal. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada trak itu mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Tara.

Iklan berkaitan kehilangan Tara.

Hari demi hari, misteri kehilangan Tara masih belum dapat dirungkai. Pihak penyiasat menemui jalan buntu kerana tiada langsung bukti yang boleh membawa kepada penangkapan suspek mahupun penemuan Tara.

Hampir setahun selepas kehilangan Tara, pada Jun 1989, sekeping gambar polaroid ditemui di Port St John, Florida. Gambar itu menunjukkan seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki yang tangannya diikat dan mulut mereka berdua ditampal pita pelekat. Menurut saksi, sebuah van Toyota berwarna putih dipercayai diparkir di kawasan di mana gambar tersebut dijumpai. Namun, kenderaan itu gagal dikesan.

Polaroid yang ditemui. Gadis dalam gambar ini dikatakan sebagai Tara yang hilang.

Menurut pakar analisis, gambar tersebut telah diambil dalam sebuah kereta Toyota tanpa tingkap yang mana menguatkan lagi dakwaan saksi kejadian yang menjumpai gambar tersebut.

Gambar tersebut dipercayai diambil selepas bulan Mei 1989, kerana filem polaroid yang digunakan hanya wujud selepas tarikh tersebut. Sebuah novel VC Andrews berjudul ‘My Sweet Audrina’, cawan plastik dan sebuah pistol air adalah antara barangan yang dapat dilihat dengan jelas dalam gambar polaroid itu.

Mungkin hanya kebetulan, tetapi VC Andrews merupakan salah seorang penulis yang diminati oleh Tara. Penyiasat juga menemui tulisan nombor yang seperti sengaja ditulis di atas novel tersebut namun ada beberapa nombor yang ditulis tidak kelihatan dengan jelas menjadikan sukar bagi pihak penyiasat untuk menentukan nombor yang sebenarnya.

Patty yakin gadis di dalam polaroid itu adalah anak gadisnya, Tara. Pihak FBI yang turut sama menyiasat kes ini tidak dapat memberikan kata putus sama ada individu dalam gambar tersebut benar-benar Tara mahupun tidak.

Manakala kanak-kanak lelaki di dalam gambar tersebut pada mulanya dikatakan adalah Michael Henley, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang hilang pada tahun 1988 di kawasan berdekatan dengan tempat tinggal Tara. 

Tetapi, rangka mayat Michael telah ditemui di sebuah gunung pada tahun 1990. Bermakna, indentiti kanak-kanak lelaki di dalam polaroid itu turut menjadi tanda tanya, dan tidak diketahui sehingga ke hari ini.

Kanak-kanak lelaki dalam polaroid itu pada awalnya disangka Michael.

Beberapa tahun kemudian, terdapat dua keping foto lain yang muncul dan didakwa sebagai Tara. Sekeping gambar ditemui pada tahun 1989, di California. Gambar tersebut menunjukkan seorang gadis yang mana mulutnya ditampal dengan pita pelekat. Namun,gambar itu terlalu kabur. Pun begitu, Patty percaya gadis di dalam gambar itu adalah Tara.

Gambar kedua yang ditemui, namun agak kabur dan sukar untuk disahkan apakah gadis dalam foto ini adalah Tara atau pun bukan.

Gambar terakhir ditemui pada tahun 1990, di mana gambar itu menunjukkan seorang gadis yang matanya ditutup dengan kain pembalut luka dan tangan diikat di samping seorang lelaki. Kali ini, Patty tidak pasti sama ada gadis di dalam gambar tersebut adalah anaknya, Tara ataupun bukan.

Polaroid ketiga. Agak sukar untuk mengatakan gadis di dalam foto ini adalah Tara.

Berbanding dua foto terakhir yang tidak diketahui kesahihannya, foto polaroid pertama lebih meyakinkan untuk dikaitkan dengan Tara.

Seorang penyiasat pernah membuat andaian, pada hari Tara hilang, gadis itu telah dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah trak yang dinaiki dua remaja lelaki.

Kerana panik, remaja lelaki itu telah membunuh Tara bagi mengelakkan gadis itu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Namun, ia hanyalah sekadar andaian kerana sehingga kini, tiada langsung bukti atau suspek yang ditahan.

Ibu Tara, Patty terus tinggal di rumah mereka sehingga 15 tahun selepas kehilangan Tara, sebelum berpindah ke Florida. Patty meninggal dunia pada tahun 2006. Ayah kandung Tara pula meninggal dunia pada tahun 2002. Manakala ayah tiri serta adik-beradik Tara yang lain masih hidup dan menanti khabar mengenai Tara sehingga ke hari ini.

Misteri kehilangan Tara dan gambar polaroid yang ditemui kekal menjadi tanda tanya kepada semua. Sehingga ke hari ini, tiada sebarang petunjuk baru terhadap kehilangan Tara. Malah, pada tahun 2019, pihak FBI pernah menawarkan ganjaran bernilai $20,000 kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat tentang kehilangan Tara. Lakaran wajah Tara mengikut usianya turut disebarkan.

Di mana Tara? Masih hidupkah wanita ini?

Gambaran wajah Tara (kanan) jika wanita ini masih hidup pada masa sekarang.

______________

Foto terakhir sebelum dibunuh. Baca kisahnya di https://utusantv.com/2021/01/25/foto-terakhir-sebelum-gadis-ini-dibunuh-tubuhnya-dicangkuk-kemaluan-dikelar/

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.