Ingkar SOP
Polis Kelantan hari menafikan rakaman audio tular di media sosial sejak beberapa hari lalu yang mendakwa PKP akan dilaksanakan di negeri itu. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 38 daripada 95 kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi pematuhan semalam dikesan melibatkan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan 95 individu yang ditahan, 86 telah dikompaun manakala sembilan lagi direman.

Beliau berkata, selain kegiatan rentas negeri tanpa kebenaran, kegagalan merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera juga dikesan kesalahan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 31 individu.

Ismail Sabri memaklumkan, kesalahan lain adalah melibatkan aktiviti di pusat hiburan (17), tidak memakai pelitup muka (lapan) dan tiada penjarakan fizikal (satu).

Kata Ismail Sabri, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 64,307 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 3,562 pasukan pematuhan melibatkan 15,868 anggota telah membuat pemantauan di 4,681 pasar raya, restoran (5,560), kilang (1,646), bank (3,939), pejabat kerajaan (1,123) dan penjaja (2,736).

“Turut dipantau ialah pasar awam atau pasar tani (2,450), tempat ibadah (3,415), tempat riadah (1,565), terminal pengangkutan darat (1,406), terminal pengangkutan air (321) dan terminal pengangkutan udara (97),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PKPD Kampung Juara, Pulau Tioman dilanjutkan

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan empat lokaliti masing-masing tiga di Terengganu dan satu di Sabah telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok sehingga 20 April depan.

Katanya, tiga lokaliti di Terengganu adalah melibatkan Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak, Hulu Besut manakala Kampung Murni C, Nabawan pula merupakan lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD.

Di Terengganu, kata Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara kumulatif telah melaksanakan sebanyak 58 ujian saringan di ketiga-tiga kampung tersebut dan daripada jumlah berkenaan, seramai enam orang disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk di ketiga-tiga kampung tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di ketiga-tiga kampung berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk bagi memastikan tiada jangkitan dalam komuniti,” jelas beliau.

Menurut Ismail Sabri, di Kampung Murni C, Nabawan pula KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti tersebut.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kadar kebolehjangkitan dalam komuniti juga adalah tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 17 ujian saringan dan sebanyak enam kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram