Ubatan dari sumber HARAM, ini penjelasan doktor bagaimana ia diberikan kepada pesakit

0
47
ubat dari sumber haram

Bagi umat Islam, mencari yang halal itu merupakan suatu kewajipan. Bukan sahaja halal haram sesuatu produk makanan dan kegunaan harian, malah ubat-ubatan juga perlu dititik beratkan soal halal dan haram.

Pentingnya kesedaran tentang mencari yang halal dalam setiap makanan dan ubatan ini kerana dalam tidak sedar ia mempengaruhi tingkahlaku kita. Syariat Islam sudah menetapkan panduan dan larangan dalam pengambilan makanan serta barangan gunaan agar umatnya tidak terjerumus kepada perkara-perkara yang batil dan yang ditegah.

Ini semua adalah untuk memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara akidah dan melindungi agamanya. Memilih yang halal menjadi satu tunggak penting dalam senarai kehidupan dan sentiasa mengutamakannya dalam setiap pemilihan makanan atau ubatan.

Sebagaimana Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan,

Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara kedua-duanya pula terdapat perkara-perkara syubhah (tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya.”

Meskipun Islam memberikan kelonggaran untuk mengambil ubat-ubatan yang mengandungi sumber haram dalam keadaan darurat tetapi keadaan tersebut perlu jelas dan selari dengan maqasid syariah agar ia tidak terus dijadikan alasan untuk menggunakan ubatan yang mengandungi unsur haram.

Lebih mengelirukan lagi apabila ada pihak-pihak yang melebalkan produk farmaseutikal juga mempunya unsur haram digunakan. Persoalannya di sini, jika sudah pasti ubat tersebut haram digunakan mengapa masih diluluskan penggunaannya?

Isu penggunaan ubat dari perspektif agama kian mendapat perhatian di kalangan umat Islam Malaysia terutama hal-hal melibatkan aspek halal dan haram.

Hanya Doktor Muslim yang pakar dalam bidang hukum agama sahaja yang akan memperskribkan ubat-ubatan pesakit.

Persoalan yang melibatkan isu halal haram dalam perubatan, menurut ketua unit kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Wan Azman Wan Ahmad, terdapat lima perkara yang perlu dipatuhi untuk mengharuskan penggunaan ubat-ubatan dari sumber yang tidak halal kepada pesakit.

Antara perkara tersebut ialah memastikan bahawa tidak ada bahan lain daripada sumber halal dan suci yang boleh digunakan untuk dijadikan ubat bagi penyakit tersebut. Sekiranya situasi ini berlaku, pihak terbabit boleh menggunakannya untuk menyelamatkan nyawa.

Hanya yang kritikal sahaja

Tambahnya lagi, penggunaan ubat yang mengandungi campuran bahan tidak halal juga boleh digunakan dengan syarat rawatan haruslah bersifat kritikal dan diperlukan demi kesejahteraan pesakit.

Manakala orang yang dipertanggungjawabkan untuk memberi kebenaran penggunaan ubat tersebut juga diambil kira. Dalam hal begini hanya doktor muslim yang fasih mengenai hukum ini sahaja yang boleh memperskrib ubat-ubatan ini.

Hanya pesakit kritikal sahaja yang boleh diberikan ubat dari unsur haram

Bagi mengelakkan kekeliruan dan masalah dengan keluarga pesakit, doktor yang terlibat perlu memastikan pewaris dan juga pesakit sendiri mendapat penerangan sejelas-jelasnya tentang penggunaan ubat tersebut.

Jika mereka menolak untuk menggunakannya, maka pihak hospital perlu akur dengan permintaan mereka.

Pesakit yang menitikberatkan soal halal dan haram sudah semestinya akan sensitif dengan permasalahan tersebut. Walau bagaimanapun, sudah menjadi hak pesakit untuk mendapatkan maklumat yang lengkap dan doktor yang merawat juga perlu bertanggungjawab untuk menerangkan kepada pesakit tentang ubat-ubatan tersebut secara telus

Malah ubat-ubatan yang mengandungi campuran bahan tidak halal juga tidak boleh sentiasa digunakan. Ubat tersebut hanya boleh digunakan untuk jangkamasa yang tertentu sahaja, mengikut rawatan yang disyorkan oleh doktor.

mencari yang halal adalah satu kewajipan

Namun begitu, umat Islam tidak seharusnya sentiasa berharap dan bergantung kepada prinsip darurat untuk menyelesaikan sesuatu perkara walaupun syariat Islam turut menyediakan jalan keluar untuk perkara-perkara rumit dengan menggunakan prinsip darurat.

Biarlah prinsip darurat itu menjadi jalan terakhir dalam keadaan apabila semua usaha telah dilakukan dan segala ikhtiar telah dilakukan. Dalam keadaan ini barulah tujuan pensyariatan darurat dalam Islam tercapai dan diaplikasi dengan kaedah yang tepat.

Mungkin ramai dalam kalangan pesakit yang menerima apa sahaja ubat yang diberikan oleh doktor tanpa mengetahui status halal haram ubat tersebut kerana yakin dengan segala ubatan yang digunakan adalah halal. Dalam konsep ini pengguna mahupun pesakit perlu memiliki kefahaman dan penghayatan tentang halal dan haram dalam semua aspek. Wallahu a’lam.

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram