SERAMAI 132,118 individu telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang dilaksanakan kerajaan.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 131,568 yang dicatatkan minggu sebelumnya.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit merupakan antara industri dan sektor utama yang telah mengambil pekerja menerusi program tersebut.

Menyentuh mengenai Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 pula, Tengku Zafrul berkata, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sehingga tarikh tutupnya iaitu pada 26 Februari lalu.

Katanya, permohonan subsidi upah yang diluluskan setapat 26 Mac pula telah mencecah RM12.841 bilion.

“Sementara itu, sejumlah RM1.112 bilion juga telah disalurkan kepada 72,875 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi manfaat 626,955 pekerja di bawah Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas Prihatin (Kita Prihatin) setakat 26 Mac lalu,” katanya.

Baca artikel berkaitan: 107,000 individu hilang kerja dibantu, tambah baik elaun cari pekerjaan – Tengku Zafrul

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-48 hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan pelancaran Pusat Penempatan HRDF (HPC) yang dilaksanakan semalam bagi mempromosi peluang pekerjaan serta memadankan calon yang sesuai dengan perniagaan, organisasi dan industri yang tepat.

Baca artikel berkaitan: Lagi pakej bantuan baharu akan diumum – Tengku Zafrul

Untuk mencapai hasrat itu, kata Tengku Zafrul, JPC komited bukan sahaja untuk menyediakan kursus latihan tetapi juga perkhidmatan nilai tambah yang membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pencari kerja.

“Platform penempatan ini memberi penekanan pada pembangunan peribadi pencari kerja melalui perancangan dan bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan serta kaunseling.

“Program seperti ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menjelang hujung tahun ini,” kata beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram