Balik kampung Ramadan, polis Kelantan awasi perantau

0
323

WALAUPUN bulan Ramadan bakal menjelang tiba minggu hadapan, namun kita belum boleh lagi meraikannya di kampung halaman kerana sekatan pergerakan antara negeri masih dikuatkuasakan.

Mengambil kira kemungkinan besar ada dalam kalangan perantau akan cuba mereka-reka alasan untuk pulang ke kampung, polis Kelantan terus mengawasi pergerakan bagi memastikan tiada sesiapa terlepas merentas negeri tanpa kebenaran.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, tindakan tegas kepada perantau akan dikenakan sekiranya mereka gagal memberi alasan kukuh dan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

Shafien malah tidak menolak kemungkinan ada perantau yang ‘menipu’ semata-mata untuk meraikan Ramadan bersama keluarga di kampung halaman.

“Lazimnya rakyat Kelantan termasuk perantau akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu orang tua dan mungkin akan ada yang pulang tanpa kebenaran.

“Jika didapati ada yang dikesan menipu dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, mereka berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya seperti dilapor BH Online.

Baca artikel berkaitan: Ayob Khan bersama JSPT jelajah 774 km temui masyarakat di 12 daerah Johor

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir merasmikan Go To Safety Point (GTSP) iaitu pusat respons asas kecemasan awal di stesen minyak milik Petron Malaysia di Tumpat, hari ini.

Sementara itu, Shafien turut menyeru supaya semua pihak meneruskan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang kemunculan kluster baharu.

Ia selepas kewujudan dua kluster baharu di Kelantan semalam iaitu Kluster Palekbang dan Jalan Kota Kubang Labu.

Shafien malah percaya kemunculan dua kluster baharu itu tercetus daripada majlis kenduri akibat kepulangan perantau ke kampung halaman.

“Saya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada warga kota yang pulang ke kampung halaman menghadiri majlis kenduri atau ziarah.

“Saya menasihati rakyat Kelantan agar tidak mengambil mudah SOP terutama pemakaian pelitup muka walaupun berada dalam kalangan sanak saudara bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 sekali gus mencetuskan kluster baharu,” jelas beliau.

Mengulas mengenai GTSP, Shafien berkata, ia merupakan inisiatif tepat dalam memastikan keselamatan orang ramai sekiranya berlaku sebarang musibah sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.

Pada masa sama, kata Shafien, orang ramai juga diharap terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk menyalurkan maklumat bagi mengekang kegiatan jenayah yang berlaku di Kelantan.

“Sebagai rekod, untuk tiga bulan ini jumlah kes jenayah yang berlaku di Kelantan adalah sebanyak 482 berbanding 730 pada tahun lalu dalam tempoh yang sama.

“Berlaku penurunan sebanyak 34 peratus dan selain peranan pihak berkuasa sendiri, pembabitan masyarakat yang menggunakan pelbagai kaedahturut membantu polis sama ada menyalurkan maklumat atau bertindak menjaga keselamatan secara sendiri iaitu menerusi Skim Rondaan Sukarela serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT),” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram