Bolehkah wasiatkan harta kepada haiwan peliharaan. Ini penjelasannya

0
44
wasiat harta haiwan peliharaan

Terdapat dalam sesetengah kes, ada pemilik haiwan peliharaan terlalu menyayangi binatang sehinggakan melebihi kasih sayang terhadap manusia.

Perkara ini sebenarnya boleh dikatakan agak keterlaluan kerana kasih sayang antara manusia dan haiwan tidak boleh dibandingkan. Ini kerana ia boleh menjejaskan darjat sesuatu makhluk ciptaan Allah S.W.T.

Sememangnya sifat kasih dan sayang itu dikurniakan kepada setiap makhluk. Manusia boleh menyayangi haiwan, tumbuhan dan sebagainya, namun ianya haruslah berpada dengan darjat sesuatu makhluk.

Sebaiknya, janganlah sesekali kita mengutamakan haiwan peliharaan sehingga mengabaikan fitrah sesama manusia.

Ada sesetengah orang yang terlalu menyayangi haiwan peliharaan sehinggakan sanggup meninggalkan harta pusaka kepada haiwan tersebut seperti yang berlaku di barat.

Jadi, boleh anda bayangkan seekor ayam bernama Gigoo menerima harta pusaka sebanyak RM58 juta dan seekor anjing bernama Gunter IV mewarisi harta sebanyak RM1.55 bilion. Hilang akal dibuatnya. Rasa hidup ini lebih sedih dan malang jadi manusia dari ayam dan anjing.

Gigoo ayam paling kaya di dunia

Itu di baratlah. Kita pun faham mereka punya pegangan bukanlah berlandaskan kepada Islam

Ironinya dalam Islam, syariat yang ditetapkan telah jelas bahawa wasiat dan harta pusaka merupakan satu hukum dan ia tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya seperti yang dilaksanakan di barat.

Justeru, sebagai umat Islam, kita tidak boleh terikut-ikut dengan budaya yang diamalkan oleh barat kerana hal ini boleh membawa kepada peniruan sesuatu kaum. Sesungguhnya meniru sesuatu kaum lain boleh membawa kepada kekafiran.

Hal ini jelas seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Taimiyah berkata bahwa Abu Dawud telah meriwayatkan sebuah hadis hasan dari Ibnu ‘Umar, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Barang siapa meniru sesuatu kaum maka dia termasuk golongan mereka.”

Apalagi yang ditiru itu pula bukanlah berkait dengan adat dan budaya tetapi mencarik hukum hakam yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Hukumnya tidak sah

Dalam Islam, harta pusaka tidak boleh diwariskan kepada binatang. Dan tiada nas yang menyebut tentang wasiat kepada haiwan peliharaan. Apa yang jelas disebut dalam surah al-Baqarah: 180 ialah,

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta hendaklah ia berwasiat untuk ibu bapa, dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama) sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.”

Menurut Dr. Muhammad Zuhaili, tidak sah diwasiatkan harta kepada haiwan. Akan tetapi wasiat itu boleh ditukar menjadi pemberitahuan ataupun permintaan daripada pemilik haiwan.

Di sini pula orang yang menjadi penerima permintaan dari pemilik haiwan haruslah melaksanakan permintaan tersebut berdasarkan syarat-syarat yang tertentu.

Sama juga dengan membeli insurans untuk haiwan peliharaan. Dalam hal ini, ia mesti dilihat kepada manfaatnya di kedua-dua pihak samada pemilik haiwan peliharaan mahupun haiwan itu sendiri.

Gunter mempunyai harta bernilai RM1.55 bilion.

Kewajarannya juga bergantung kepada faedah kepada umah, namun harus juga berlandaskan garis panduan syarak. Sekiranya ia mendatangkan banyak faedah dan kebaikan, maka ianya perlu.

Akan tetapi jika ia tidak mendatangkan faedah dan boleh memudaratkan maka ianya tidak perlu.

Berdasarkan hal ini, Islam membenarkan dan tidak melarang umatnya membela haiwan. Namun pada masa yang sama haruslah melihat kepada kesesuaian dan juga situasi.

Bagi pencinta haiwan, sekiranya ingin membela haiwan peliharaan, kajian dan penyelidikan berlandaskan hukum fiqh dan syarat-syarat serta hukum haruslah diselidiki terlebih dahulu. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan mestilah ikhlas dan untuk mendapatkan ganjaran pahala di dunia juga akhirat.

Walaupun kita menganggap memelihara binatang itu baik, tapi harus di ingat sebenarnya juga kita sedang menyeksa pihak yang lain. Setiap makhluk Allah S.W.T. di dunia telah diciptakan dengan fitrah masing-masing.

Maka bekalkan dahulu ilmu di dada dengan pengetahuan yang secukupnya. Sebagai saranan, undang-undang yang berkaitan haiwan peliharaan harus dijalankan dengan berlandaskan garis panduan Islam agar tidak berlaku kezaliman terhadap sesuatu pihak. Inilah juga sebenarnya yang terkandung dalam maqasid syariah. Wallahu a’lam.

Artikel Berkaitan: si pencinta haiwan jangan kerana perbuatan ini Allah murka kepada anda

______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram