Kerajaan PN jangan sesekali mengalah banteras rasuah!

0
32
ksn kartel
SPRM menahan tujuh suspek berkait sebuah kartel yang mengawal lebih 150 syarikat dan menggunakannya untuk mengemukakan tender di kementerian dan agensi kerajaan.


Oleh: WAN MUSTAFA WAN IDRIS

Kelmarin seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan rampasan dan sitaan ke atas aset bernilai kira-kira RM44.7 juta yang dipercayai ada kaitan dengan `kartel tender kerajaan.’

Paling mengejutkan antara aset yang disita termasuk dua buah helikopter. Tidak pernah lagi rasanya SPRM menyita aset berupa helikpoter. Selama ini yang biasa dirampas dan disita ialah wang tunai, barang kemas, rumah mewah, kereta mewah, bot peranginan serta hartanah lain. Rasanya inilah pertama kali dalam sejarah badan pencegahan rasuah itu merampas helikopter.

Ini secara tidak langsung menunjukkan mereka yang terlibat sudah menjadi begitu berani dan tiada segan silu lagi untuk mempamerkan kemewahan hidup masing-masing. Bagaimanapun mereka yang terlibat ini lupa satu perkara bahawa, gerak–geri mereka diperhatikan rakyat marhaen dan pihak berkuasa.

Walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang banyak mengekang pergerakan dan aktiviti ekonomi serta kemelut politik yang masih belum berkesudahan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus komited membanteras kegiatan rasuah dan penyelewengan selain mempertahankan integriti mahkamah dan tidak campur tangan dalam badan kehakiman negara.

Sebagai contoh sepanjang Mac lalu dan bulan ini SPRM sudah menumpaskan sekurang-kurangnya enam kes rasuah berkala besar yang melibatkan orang awam, penjawat awam, tokoh korporat serta individu berpangkat Tan Sri, Datuk Seri atau Datuk.

Antaranya sindiket melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya yang melibatkan 32 pegawai dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, ); ketua jabatan sebuah agensi kerajaan yang disyaki terlibat dengan rasuah seks, bekas presiden sebuah bank komersil yang meluluskan pinjaman kewangan bernilai RM400 juta yang ke atas projek yang tidak wujud dan yang terbaharu sindiket mengeluarkan permit palsu bernilai.

Tindakan berterusan memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa ini tidak memilih bulu sebaliknya meliputi semua lapisan masyarakat. Ini sekali gus menolak dakwaan kononnya, tindakan hanya dikenakan ke atas ìkan bilis’ manakala jerung dan paus dibiarkan berleluasa, lepas, bebas dan selamat.

Selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai pendekatan bagi menangani isu ini antaranya meneruskan amalan pusingan atau penggiliran pegawai kerajaan yang menyandang jawatan sensitif terutama di bahagian tender dan perolehan yang terdedah kepada salah laku rasuah.

Begitu juga dalam hal-hal berkaitan perjalanan kes mahkamah dan badan kehakiman negara. Kerajaan PN mengulangi pendirian tidak akan sesekali campur tangan dalam kes-kes mahkamah serta urusan badan kehakiman.

Pada masa ini kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan dakwaan rasuah, penyelewengan, pengubahan wang haram, salah guna kuasa, gangguan seksual, rogol masih berjalan seperti biasa. Biar mahkamah yang menentukan sama ada mereka bersalah atau dibebaskan.

Keadaan ini sangat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat memerintah selama 22 bulan. Banyak kes mahkamah yang melibatkan para pemimpin mereka ditutup, digugurkan atau tidak ada tindakan lanjut.

Tindakan ini sangat mengejutkan kerana kerajaan PH sebelum ini bukan main lantang mempertahankan isu-isu berkaitan integriti, pembanterasan rasuah, salah guna kuasa, dan campur tangan dalam pendakwaan di mahkamah.

Biarpun diasak, dikecam dan dituduh macam-macam, kerajaan PN jangan sesekali mengalah dalam kerja-kerja memerangi amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan!

*Penulis adalah pemerhati politik dan sosial. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.