Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman (dua dari kanan) menukar memorandum perjanjian dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Dato' Adissadikin Ali (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara TERAJU dan RHB Islamic Bank Berhad bagi Program Rantaian Bekalan Kewangan Untuk Syarikat Bumiputera di Mutiara Damansara, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TERAJU Bumiputera Corporation (Teraju) menjalinkan kerjasama strategik dengan RHB Islamic Bank Berhad bagi menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM126 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera menerusi Program Rantaian Bekalan Kewangan.

Program tersebut yang menyasarkan 120 PKS bumiputera seluruh negara terutama di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang memperoleh projek melalui kontrak kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional dan syarikat anchor bumiputera yang berkelayakan.

Kemudahan pembiayaan sehingga RM5 juta itu yang juga merupakan pelaburan bersama antara Teraju dan RHB Islamic akan mula ditawarkan seawal bulan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman, program selama tiga tahun hingga 2024 itu merupakan sebuah platform dana pusingan dengan sasaran pulangan modal mencecah kadar minimum RM360 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Salimi Abd Rahman.

Katanya, Teraju memperuntukkan sebanyak RM26 juta dalam program tersebut manakala baki RM100 juta adalah daripada RHB Islamic.

Md. Silmi berkata, kemudahan pembiayaan itu juga menyasarkan semua sektor ekonomi tetapi tumpuan diberikan kepada sektor minyak dan gas, automotif dan utiliti.

“Kami akan kaji semula program ini dalam masa enam bulan dan jika mendapat sambutan menggalakkan, mungkin kami akan menambah peruntukan dana.

“Usaha sama seperti ini juga merupakan satu daripada usaha pemboleh cara dan pemudah cara strategik yang membentuk sinergi diperlukan untuk menggiatkan semula PKS bumiputera.

“Ia penting kerana banyak syarikat PKS Bumiputera yang berdepan masalah aliran tunai dan modal kerja susulan impak negatif penularan Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Teraju dan RHB Islamic menerusi Program Rantaian Bekalan Kewangan untuk syarikat PKS bumiputera hari ini.

Baca artikel berkaitan: MDEC peruntuk RM14 juta bagi PKS, syarikat permulaan

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, kerjasama itu akan dapat membantu PKS bumiputera mendapatkan fasiliti pembiayaan terutama syarikat-syarikat yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, PKS bumiputera akan mendapat akses mudah kepada fasiliti penyelesaian pembiayaan perdagangan Islam dalam persekitaran pasaran mencabar ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Dato’ Adissadikin Ali.

“Melalui platform Rantaian Bekalan Kewangan, PKS bumiputera akan dapat menikmati pembiayaan modal kerja dengan kadar segera tanpa perlu menyediakan sebarang bentuk cagaran.

“Platform elektronik ini membolehkan penghantaran pembiayaan invois dengan cepat, mudah dan selamat,” jelas beliau.

Program tersebut adalah kesinambungan daripada perjanjian kerjasama terdahulu di antara RHB Islamic dengan Teraju untuk membantu syarikat-syarikat bumiputera yang mengalami kesukaran untuk memperolehi pembiayaan.

Kerjasama RHB Islamic dengan Teraju bermula semenjak menjadi salah satu daripada institusi pembiayaan Skim Dana Teras pada bulan Disember 2012.

Sepanjang program ini, RHB Islamic telah berjaya menjana pembiayaan bernilai kira-kira RM600 juta untuk modal kerja dan untuk tujuan perolehan aset bagi syarikat-syarikat berdaftar di bawah Teraju.

PKS bumiputera boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.rhbgroup.com dalam masa terdekat atau emel kepada [email protected]

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram