Altimet bina empayar syarikat pengurusan baharu

0
400
altimet

MULA mengorak langkah ke dalam industri hiburan seawal tahun 90-an sehingga kariernya berkembang sebagai pengurus artis di Kartel Records, Yasmeen Zainal telah bekerjasama dengan ramai bakat-bakat hiburan termasuk penyanyi rap yang telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah, penulis lagu dan produser, Altimet.

Setelah bekerja bersama selama tujuh tahun, Altimet tanpa sebarang keraguan amat pasti bahawa bakat Yasmeen mampu untuk terus berkembang daripada peranan semasanya.

Graduan Multimedia Kreatif tersebut telah berkali-kali menunjukkan kebolehannya sebagai Produser Eksekutif untuk tiga albumnya, dua kali sebagai Pengurus Pentas untuk persembahannya di Anugerah Juara Lagu.

Selain itu, sebagai Pengurus Jelajah untuk persembahannya di London dan di Amerika Syarikat dan pada waktu yang sama mendapatkan tawaran penajaan, mengendalikan penjenamaan dan pemasaran. Selain turut bekerjasama dengan pihak media dan pelbagai syarikat global.

Ia merupakan keputusan yang sangat mudah bagi gabungan kuasa di belakang kejayaan karier Altimet dan ‘The Last Altimet Show’ (yang merupakan konsert terakhir Altimet, dan konsert penuh hip-hop pertama di Malaysia yang menampilkan live band serta 20 artis lain) untuk terus berganding bahu dan memulakan syarikat mereka sendiri, SVL TAN Management.

“Apa yang membezakan SVL TAN Management dengan yang lain? Sudah tentu pengalaman 35 tahun kami dalam industri hiburan. Kami mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kini sedia untuk menjangkau melebihi batasan tersebut.

“Kami sedia untuk menggegarkan dan menetapkan tanda aras baharu industri bagi rakan-rakan kami di dalam industri hiburan tanah air,’ jelas Altimet yang merupakan Pengarah Kreatif syarikat tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif SVL TAN Management, Yasmeen Zainal menyatakan bahawa peranannya sebagai pengurus Altimet adalah penyebab utama dia ingin memulakan syarikat pengurusannya sendiri.

“Saya amat bersemangat tentang industri hiburan, dan sebagai pengurusnya, ia telah memberikan saya peluang untuk melihat bagaimana kesemua di dalam industri ini bergerak. Ia merupakan peranan 360 darjah yang menyeluruh, meliputi kesemua aspek kariernya, dan amatlah menakjubkan untuk melihat bagaimana ianya berkembang.

“Pengalaman yang ditimba selama ini, bersama dengan pengetahuannya, adalah apa yang saya harapkan boleh melonjakkan industri ini kepada tahap yang lebih tinggi,” tuturnya.

Asas teras SVL TAN Management termasuk Pengurusan dan Tempahan Artis, serta Penjenamaan dan Perkhidmatan Konsultan Industri Kreatif dan Pemasaran Hiburan.

“Kami memulakan SVL TAN ketika Covid-19 melanda awal tahun lalu, dan kami sangat bersyukur kerana kami masih berjaya menjalankan operasi seperti biasa, walaupun terdapat banyak cabaran yang ditimbulkan oleh wabak ini.

“Kami sebenarnya ingin melancarkan SVL TAN secara rasmi dari awal tahun lepas lagi, tetapi kami ingin mengutamakan bakat dan fokus pada perniagaan terlebih dahulu,” ujarnya.

Buat masa ini, SVL TAN Management mempunyai barisan lima bakat tempatan di bawah pengurusan mereka, iaitu cef selebriti Sherson Lian, penyampai radio Haniff Hamzah, penyanyi Hazama, Saint Kylo dan sudah tentu, Altimet sendiri.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi