Borang rentas negeri kosong sudah ditandatangani, Polis buka kertas siasatan

0
582
432 ditahan ingkar
Anggota Polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah kawalan Pergerakan (PKP) di PLaza Tol Setia Alam, Shah Alam baru-baru ini.. GAMBAR: Abd Razak Aid


SELEPAS tular borang rentas negeri kosong yang telah ditandatangani di media sosial sejak semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung kes pemalsuan tandatangan pegawai polis yang terdapat pada borang berkenaan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semalam telah tular satu borang rentas negeri kosong milik Balai Polis (BP) Chukai yang lengkap bertandatangan Ketua BP Chukai ditularkan di media sosial dengan tulisan “DAPAT INFO SOP TERBARU IALAH APPROVE DULU BARU ISI FORM”.

Kata kenyataan itu, siasatan awal yang dijalankan mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua BP Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang berkenaan.

Menurutnya,  borang berkenaan dikeluarkan kepada seorang perempuan Melayu untuk merentas negeri ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temu duga yang dijadualkan pada hari ini.

“Satu kertas siasatan polis dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (pemalsuan bagi maksud hendak menipu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hanyan yang dipetik Harian Metro berkata, pihaknya menafikan kononnya terdapat prosedur operasi standard (SOP) baharu dikeluarkan polis iaitu lulus dahulu baru isi borang untuk tujuan rentas negeri sebagaimana yang dinyatakan bersama borang kosong berkenaan.

“Saya menafikan dan maklumat itu palsu kerana polis tidak pernah mengeluarkan sebarang SOP baru rentas negeri sebagaimana yang didakwa,” tambahnya.

Penularan surat kebenaran itu mengundang kemarahan warga maya yang berang dengan tindakan itu yang didakwa ia sebagai perbuatan pecah amanah.