‘Dadah jihad’ untuk timbul rasa berani bernilai lebih RM200 juta dirampas

0
28


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas 650 kilogram dadah jenis pil “captagon” atau dikenali sebagai “dadah jihad” bernilai lebih RM221.86 juta di Pelabuhan Klang, Isnin lepas.

Pengarah JSJN Razarudin Husain berkata rampasan kedua dadah jenis tersebut di Malaysia itu adalah hasil perkongsian maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Dadah itu dibawa dari negara Timur Tengah dan singgah di Pelabuhan Klang sebelum dirancang untuk menuju ke negara Asia Barat untuk memenuhi permintaan pasaran di sana,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang, hari ini.

Bernama melaporkan, beliau berkata, hasil maklumat risikan tersebut pihaknya berjaya mengesan sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang Ahad lepas.

“Maklumat risikan mendedahkan sebuah kontena daripada kapal tersebut akan dipindahkan ke kapal lain yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April,” katanya.

Razarudin berkata, dadah yang disimpan di dalam “aluminium floor spring” itu berjaya dikesan pihak berkuasa melalui imbasan yang menimbulkan imej yang mencurigakan.

Namun katanya, tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut dan JSJN dan pihak berkuasa Arab Saudi akan terus bekerjasama untuk menangkap pihak yang terlibat.

Menurutnya pil itu pada mulanya digunakan oleh Jerman untuk membesarkan otot seawal 1960-an, namun diharamkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Eropah itu pada 1980-an kerana dikategorikan sebagai dadah.

Razarudin berkata dadah yang mempunyai kandungan amfetamina dan fenethylline itu biasanya digunakan oleh militan Daesh untuk menimbulkan rasa berani dan kini mula digunakan di pusat hiburan, namun katanya dadah tersebut masih belum memasuki pasaran Malaysia.

“Kita tidak mahu Malaysia dijadikan negara transit dadah dan mahu menyekat dadah ini dari masuk ke negara ini,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket kartel pengedaran dadah antarabangsa terbesar membabitkan pil captagon dianggarkan RM5.2 bilion juga di Pelabuhan Klang.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sindiket terbabit memasukkan dadah berkenaan dalam roda troli bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, sepasukan anggota JKDM daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita tiga kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang pada 4 petang 15 Mac lalu.

“Hasil pembongkaran menjumpai anggaran 94.8 juta biji pil captagon disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine dengan berat kasar 16 tan dianggarkan bernilai RM5.2 bilion yang disorokkan di dalam roda troli. Hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba dari negara Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara lain di Timur Tengah.

“Kotak dirampas mengandungi dadah berkenaan didapati diisytiharkan sebagai roda troli (castor),” katanya.