Kalau benar itu suaranya, Zahid tak layak pimpin UMNO – Ku Li

0
42
Tengku Razaleigh Hamzah bersama Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis tidak lama dulu - GAMBAR FAIL


PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi tidak layak terus kekal memegang jawatan itu jika rakaman audio yang didakwa perbualan beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar adalah tulen.

Ketika menegaskan perkara, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, banyak pihak terutama ahli-ahli UMNO meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik.

“Pada pandangan saya tak baguslah, seorang pemimpin patut tidak berlagak macam itu. Dia mesti lebih bertanggungjawab sebab orang meletakkan harapan kepada dia untuk memimpin dengan lebih baik. Jangan dia ambil mudah.

“Mengenai rakaman audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara. Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Rakaman selama empat minit itu didakwa suara Ahmad Zahid dan Anwar yang berbual mengenai ucapan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Bagaimanapun Ahmad Zahid semalam menafikan itu suara beliau dan menegaskan, ‘’ini merupakan percaturan politik yang jahat dan jijik hanya hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti itu akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.

‘’Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenalpasti dalang ‘scheme of thing’,’’ katanya.

Sementara itu malam tadi, Anwar turut menafikan rakaman tersebut suara beliau dan akan meminta pegawainya membuat laporan polis.

Berucap melancarkan Bilik Operasi Pilihan Raya PKR Selangor, Presiden PKR itu mendakwa, rakaman itu merupakan usaha daripada kepemimpinan negara setelah gagal ‘mengugut’ dan ‘merasuah’ pemimpin pembangkang.

‘’Saya malam ini ingin nyatakan bukan sahaja penafian, tetapi ternyata, selain menafikan ia menunjukkan gundah gulananya pemimpinan negara ini mencari apa saja tipu helah, ugut, beri rasuah, tak makan, maka dia sebar fitnah,’’ katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata, fitnah menggunakan rakaman audio itu adalah bagi mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin UMNO.

‘’Saya nak sebut, ini nak gunakan kita nak lawan politik dalam UMNO, nak gunakan kononnya perbualan saya dan Datuk Seri Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan UMNO,’’ katanya.