‘Rakaman jahat’, apa nasib Ahmad Zahid selepas ini?

0
188


RAKAMAN suara mirip perbualan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘menghebohkan’ arena politik negara, semalam.

Melalui audio berdurasi 4 minit 17 saat yang tular, kedengaran antara lain suara ‘Anwar’ memuji ucapan ‘Ahmad Zahid’ dalam Perhimpunan Agung UMNO menerusi panggilan telefon.

Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya itu suara beliau dan mengganggap ia politik jijik dan jahat serta menegaskan akan membuat laporan polis bagi mengesan dalang individu yang bertanggungjawab terhadap audio tersebut.

Anwar pula malam tadi mendakwa klip audio berkenaan merupakan usaha daripada kepimpinan negara setelah gagal ‘mengugut’ dan ‘merasuah’ pemimpin pembangkang.
Beliau turut memberitahu akan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis.

Bagaimanapun setakat pukul 9 pagi, kedua-dua pihak belum lagi membuat laporan polis, walaupun Ahmad Zahid telah membuat kenyataan penafian sejak tengah hari semalam.

Berbanding isu surat yang didakwa diutus oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri tidak lama dahulu, kali ini Ahmad Zahid begitu pantas menafikan rakaman audio itu. Dalam kes surat tersebut hanya Ibupejabat UMNO yang mengeluarkan penafian bukan Ahmad Zahid secara peribadi.

Sememangnya Ahmad Zahid bukan wajar tetapi MESTI membuat laporan polis berhubung rakaman audio itu bagi membersihkan namanya. Mungkin Ahmad Zahid turut boleh membuat laporan polis berhubung surat kepada Agong itu mana la tau kalau dalang kedua-dua ‘politik keji, jijik’ orang yang sama.

Siasatan itu juga penting untuk orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO mengetahui siapakah kelompok yang begitu hebat membuat satu rakaman audio yang cukup luar biasa itu.

Kenapa ia dikatakan ‘luar biasa’? Ia disebabkan suara itu amat mirip sekali dengan suara dua pemimpin tersebut. Hebat ‘dalang’ rakaman itu yang dianggap Ahmad Zahid membuat ‘percaturan politik yang jahat dan jijik serta permainan keji’.

Namun di sebalik isu rakaman itu, ia tidak mampu menutupi suara yang semakin lantang (bukan rakaman audio) dalam UMNO yang mahu Ahmad Zahid berundur.

Kenyataan paling mendapat perhatian ialah daripada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Nazri Aziz. Ahli Parlimen Padang Rengas itu secara terbuka menyatakan peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya umum seterusnya, akan sangat tipis selagi Ahmad Zahid Hamidi menjadi ketua gabungan dan tonggak kepada UMNO.

Nazri berkata semakin jelas bahawa Zahid tidak lagi mendapat sokongan atau kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional.

“Komponen BN nampaknya tidak menghormati beliau (Zahid). Lihat sahaja AGM MIC hujung minggu lalu di mana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijemput untuk menyampaikan ucapan kepada para perwakilan. Sekiranya Presiden UMNO dan pengerusi BN kuat, tidak ada parti komponen yang berfikir untuk mengundang orang luar. Ini sangat memalukan.”

Kata beliau, Ahmad Zahid – yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram – perlu mengundur diri dan membenarkan orang lain memimpin UMNO dan BN.

“Selagi dia ada, UMNO tidak akan dilihat sebagai parti yang bersih kerana perbicaraannya. Sekiranya Zahid berundur, ia tidak akan menimbulkan masalah mengenai siapa yang harus memimpin parti kerana kita (UMNO) hanya mengikut hierarki. Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan) ambil alih.”

Sebenarnya, ramai orang termasuk dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri mempunyai pandangan seperti Nazri tetapi mereka tidak berani suara. Tetapi Nazri adalah ahli politik yang berprinsip sejak dulu lagi.

Tidak ada mana-mana Presiden UMNO yang akan terlepas daripada kritikan beliau kerana Nazri akan bercakap secara terus terang jika ada perkara tidak betul. Itulah yang beliau lakukan dalam mengkritik Ahmad Zahid.

Pandangan Nazri itu turut dipersetujui oleh Penganalisis politik Jeniri Amir yang mendakwa, Ahmad Zahid adalah liabiliti kepada UMNO dan BN kerana perbicaraan yang beliau sedang berdepan itu.

Beliau berkata, BN mendahului persaingan untuk kembali berkuasa kerana Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak menunjukkan prestasi, sedangkan mereka mempunyai rekod prestasi dalam mentadbir negara.

“Tetapi jika Ahmad Zahid berada di barisan depan, sama ada beliau adalah calon Perdana Menteri atau bahkan pemimpin Umno dan BN, anda akan hilang kelebihan itu.

“Sekiranya BN membawakan Ahmad Zahid sebagai pemimpinnya, pengundi tidak akan percaya bahawa Umno dan BN sudah belajar dari kesilapan lalu. Mereka tidak akan percaya mereka (UMNO) membuat pembaharuan atau boleh melakukan pembaharuan,’’ katanya kepada FMT.

Semalam juga beberapa lagi pemimpin UMNO turut membuat tuntutan yang sama, Ahmad Zahid perlu berundur daripada kepemimpinan parti dan menyerahkan kepada Mohamad Hasan.

Sememangnya kita memahami betapa sayangnya Ahmad Zahid kepada UMNO tetapi beliau perlu memahami sasaran serangan yang dilakukan tidak akan ke mana kalau beliau tidak mempunyai apa-apa masalah.

Tetapi beliau ada kes mahkamah yang entah bila akan selesai, Ahmad Zahid dilihat oleh pemimpin UMNO tidak berkemampuan untuk mengemudi bahtera UMNO dan BN memasuki medan pertempuran PRU-15 .

Soal beliau ada karisma atau tidak untuk menjadi Perdana Menteri, ia terserah kepada penilaian masing-masing. Apa yang penting ialah suara-suara dalam UMNO semakin lantang mahukan beliau berundur.

Semalam pun sudah ada pemimpin kanan UMNO lain yang sudah berani bercakap soal UMNO memerlukan perubahan dan reformasi termasuk dari segi kepemimpinan. Semua itu sepatutnya sudah difahami oleh Ahmad Zahid.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman yang menegaskan tidak rela UMNO diperkotak-katikkan dan menjadi gadaian sesiapa, Ahmad Zahid perlu yakin kepada pemimpin-pemimpin di bawahnya.

Penulis yakin tidak ada sesiapa pun termasuk Tok Mat Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau lain-lain pemimpin mahu membiarkan UMNO dibuli apatah lagi digadaikan.

Justeru demi kebaikan UMNO, Ahmad Zahid perlu mempertimbangkan memberi laluan kepada mereka untuk menerajui UMNO dan beliau pula boleh menumpukan perhatian membersihkan nama di mahkamah. Inshaallah, Allah SWT bersama orang yang benar, sejauh manapun perancangan manusia, perancangan Allah lebih maha hebat.

Anggaplah pengunduran itu sebagai satu pengorbanan demi UMNO yang selama ini Ahmad Zahid begitu berkobar-kobar mempertahankannya, jangan nanti UMNO pula terkorban kerana beliau.