Tragedi Charkhi Dadri. Suara terakhir Kapten Khalid yang mengucap sebelum dua pesawat bertembung di udara

0
1088

Pada 12 November 1996, sebuah pesawat boeing Saudi Arabian penerbangan 763 berlepas dari New Delhi, India untuk menuju ke Dhahran, Arab Saudi.

Pesawat tersebut berlepas dari lapangan terbang Delhi pada jam 18.32 waktu tempatan, membawa 289 penumpang dan 23 krew. Juruterbangnya adalah Kapten Khalid Al-Syubaily, seorang pilot yang berpengalaman luas dalam menerbangkan pesawat. Beliau dibantu oleh Nadzir Khan.

Setelah mendapat kebenaran berlepas dari menara kawalan, Kapten Khalid mula memacu pesawatnya yang dari perlahan bergerak laju sehingga ia terapung di udara, meluncur meninggalkan ibu kota India. Malam sudah menjelma, meninggalkan warna kelam di udara.

Segalanya berada dalam keadaan terkawal. Kapten Khalid menaikkan pesawat dari ketinggian 10,000 kaki ke 14,000 kaki di udara, mengikut arahan daripada pengawal radar di New Delhi.

Pesawat boeing Saudi Arabia dan pesawat Kazakhstan jenis Ilyushin II-76.

Dalam waktu yang sama, sebuah pesawat Kazakhstan Airlines penerbangan 1907, Ilyushin II-76 sedang memasuki ruang udara India. Pesawat itu dari bandar Shymkent yang terletak di selatan negara Kazakhstan, menuju ke Delhi. Ia membawa 27 penumpang dan 10 krew berserta barangan kargo bernilai jutaan dolar. Lokasi pendaratan Ilyushin adalah Lapangan Terbang New Delhi, India.

Ketika mula memasuki ruang udara India, juruterbangnya iaitu Kapten Gennady Cherapanov mula menurunkan tahap ketinggian pesawat yang sebelum itu berada pada kedudukan 23,000 kaki di udara.

Selain Gennady, ada lima pembantu lain yang terdiri dari pembantu juruterbang, jurutera udara, mekanik komunikasi dan penunjuk peta. Kesemua mereka memberi perhatian melalui headphone bagi mendengar arahan daripada pengawal radar di India.

Pakar mekanik komunikasi bertindak untuk menterjemahkan arahan dalam bahasa Inggeris yang diterimanya kepada bahasa Russia untuk fahaman kapten dan krew yang lain.

Di sini mula berlaku kekeliruan terhadap mesej yang diterima para krew di dalam kokpit pesawat Ilyushin. Apatah lagi suara yang diterima dari pengawal radar kedengaran kurang jelas.

Ada yang mendengar arahan menyuruh pesawat diturunkan pada kadar ketinggian 15,000 kaki. Ada pula yang mendengarnya sebagai 14,000 kaki di udara.

“Turun pada ketinggian 15,000 kaki. Di hadapan ada pesawat Saudi Airlines yang berada dalam jarak 14 batu dengan ketinggian 14,000 kaki.” Begitu arahan yang diberi oleh pengawal radar dari Lapangan Terbang New Delhi.

Namun, kerana gangguan komunikasi menyebabkan arahan kurang jelas didengari, pertikaian mula  berlaku. Gennady menyangka perintah turun yang disuruh adalah ke paras 14,000 kaki kerana ia mendengar angka 14 disebut dua kali. Lalu, dia mengarahkan pesawat diturunkan ke tahap itu.

Pesawat Ilyushin II-76 itu terus meluncur dengan kelajuan tinggi, membelah kegelapan awan yang bertindan-tindan. Tiba-tiba, krew IIyushin melihat satu pancaran cahaya. Pancaran itu sekejap menyala, sekejap hilang di sebalik awan gelap.

Cahaya yang pada awalnya tampak lemah itu semakin lama semakin kuat dan kian dekat. Sekelip mata, gumpalan awan menghilang. Kini, pesawat Saudi Airlines sudah tersergam di hadapan pesawat Ilyushin. Anak kapal Rusia itu ketakutan. Dan juruterbangnya, Gennady menjerit sekuatnya apabila pesawatnya mula menghentam badan Saudi Airlines.

“Astaghfirullah, astaghfirullah…Asyhadu alla ila ha illallah!” Hanya lafaz kalimah tauhid itu berulang kali dilafaz Kapten Khalid sewaktu kedua buah pesawat itu bertembung di udara.

Bahagian ekor pesawat Ilyushin II-76 telah melanggar sayap kiri pesawat Saudi Arabia. Kedua-dua pesawat hilang kawalan akibat momentum rempuhan yang kuat sehingga terbakar dan menjunam jatuh ke bumi.

Kedua pesawat ini bertembung di ruang udara perkampungan Charkhi Dadri, 80 batu dari New Delhi. Ketika itu, langit di bandar tersebut menjadi terang, umpama percikan bunga api raksasa di angkasa. 

Tragedi itu mengorbankan 349 mangsa, menjadikannya antara tragedi pesawat terburuk di udara yang pernah berlaku. Tiada seorang pun yang terselamat. Kebanyakan mangsa terbakar hangus. Sebahagian serpihan bangkai pesawat terhempas ke kawasan ladang.

Beberapa hari sebelum tragedi berlaku…

Kapten Adnan yang merupakan rakan kepada Kapten Khalid menceritakan, beberapa hari sebelum tragedi itu berlaku, dia sempat berborak dengan Kapten Khalid selepas mereka selesai solat Asar.

Ketika itu, Kapten Khalid menceritakan mimpi anehnya.

“Wahai sahabat, aku mengalami mimpi buruk. Dalam mimpi itu, aku berada dalam pesawat yang sedang terbakar. Aku melihat api di serata tempat. Para penumpang menjerit ketakutan. Sangat menakutkan. Apa pendapatmu?” Tanya Kapten Khalid kepada sahabatnya itu.

“Kerja kita menerbangkan pesawat berdepan pelbagai cabaran dan berbahaya. Ia bukan perkara aneh. Anggaplah ia hanya khayalan. Sebaiknya berserah kepada Tuhan,” hanya itu jawapan diberi Kapten Adnan untuk menenangkan hati sahabatnya itu.

Rupa-rupanya, apa yang dimimpikan oleh Khalid benar-benar jadi kenyataan. Tragedi di dalam mimpi menjadi realiti.

Keadaan di sekitar kawasan pesawat terhempas.

Pencarian mayat Kapten Khalid hanya berjaya pada hari ketiga. Itu pun setelah bangkai bahagian kokpit ditemui yang tertanam sedalam lima meter di dalam tanah. Khalid ditemui rentung di dalamnya.

Jenazah Khalid di bawa pulang ke Madinah. Semasa dimandikan, kulit Khalid kelihatan bersih dan nampak masih segar. Masih terlihat jaluran darah mengalir di bawah kulitnya walaupun mayatnya hanya ditemui pada hari ketiga setelah tragedi berlaku.

Pada hari kelima, barulah jenazah Khalid disemadikan di perkuburan Baqi’. Orang ramai berkerumun menghadiri untuk memberi penghormatan terakhir sebelum juruterbang itu dikebumikan.

Kotak hitam pesawat Saudi Airlines yang ditemui membuka cerita. Kotak itu mencatatkan suara Khalid yang mulutnya tidak pernah putus melafazkan istighfar dan berulang kali mengucap kalimah syahadah ketika tahu nyawanya akan diambil semula oleh Allah.

Asyhadu alla ilahaillahhlah, wa asyhadu anna muhammadar rasulullah…. Itu kalimah terakhir Kapten Khalid sebelum suaranya diam buat selama-selamanya.  

_________________

Baca juga kisah tragedi pesawat MH653 yang terhempas di Tanjung Kupang di pautan ini https://utusantv.com/2021/01/05/cebisan-daging-bertaburan-isi-perut-hangus-terbakar-kisah-tragedi-mh653-di-tanjung-kupang/

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.