PETALING JAYA – Pasar raya Giant kini muncul dengan wajah baru dengan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM25 juta.
Penjenamaan semula ini melibatkan semua 57 cawangan Giant di seluruh negara dengan menukar logo baharu dan juga penampilan baru para pekerjanya.
Pembaharuan ini juga turut memperkenalkan lebih 2,000 produk baharu yang merangkumi makanan dan barang keperluan harian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Makanan Asia Tenggara Dairy Farm, Chrish Bush berkata, pasar raya Giant kini menawarkan pelbagai produk pada harga yang berpatutan, selaras dengan penjenamaan semula yang dilakukan berdasarkan suara dan kehendak pengguna.

“Kami sediakan pelbagai produk baharu dengan tahap kualiti yang tinggi. Pembaharuan ini kami lakukan selepas mendengar suara pengguna. Daripada situ kami menaik taraf dengan menambah kepelbagaian produk dan meningkatkan tahap perkhidmatan,” katanya sewaktu pelancaran wajah baru Giant di Kota Damansara di sini pada Khamis.
Perasmian majlis ini dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah GCH Retail Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar. Turut hadir Pengerusi Jardines Matheson Country, Rossana Annizah.
Turut dilancarkan lebih 2,000 produk baharu termasuk dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan stor Guardian di Giant. Pada sama, turut diperkenalkan bahagian baru iaitu Zon Ringgit yang menampilkan barangan berharga RM3 untuk pelbagai kategori produk yang dipasarkan.

Menurut Chris, dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan lagi pihaknya akan memperkenalkan kira-kira 300 produk baharu di bawah jenama Meadows.
Pembukaan cawangan Giant Mini bersaiz antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi dengan menawarkan produk-produk terpilih juga salah satu rancangan untuk mengembangkan operasi Giant.
“Dengan pembukaan cawangan ini, ia boleh memberi banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan PKS bagi memasarkan produk mereka di Giant Mini,” kata beliau.
Wajah baharu Giant dapat dilihat di semua bahagian produk dari makanan, barangan dapur, penjagaan kesihatan, barangan elektronik selain memperbanyakkan variasi pilihan makanan dari luar negara serta produk keluaran tempatan. – UtusanTV.
