Labah-labah merupakan haiwan yang hidup secara bersendirian dan tidak mempunyai kehidupan bersosial. Ia tidak membiak secara berkumpulan kerana kehidupan sebegitu hanya dianggap sebagai suatu persaingan sesama mereka.

Labah-labah berburu dengan membina sarang untuk memerangkap mangsanya. Sarang-sarang ini diperbuat daripada sutera, yakni seutas benang protein halus yang dihasilkan oleh haiwan berkenaan melalui hujung abdomennya.

Dengan kata lain, hidup si labah-labah hanya berkisar di sarang mereka sahaja dan haiwan ini akan menjaga kawasannya sebaik mungkin. Kehidupannya berbeza sekali dengan serangga-serangga lain yang lebih banyak menghabiskan masa secara bermasyarakat.

Sebagai haiwan pasif dan tidak bersosial, labah-labah mempunyai cara tersendiri untuk terus hidup. Memiliki keistimewaan untuk menghasilkan bebenang sutera, kebolehan yang tiada pada haiwan lain.

Labah-labah akan menganyam bebenang sutera ini menjadi sarang dan perangkap yang rapi. Setiap serangga kecil yang memasuki lingkaran ini akan terperangkap, seterusnya menjadi makanannya.

Bukan itu sahaja, kegunaan sarang ini turut merangkumi perkara lain. Antaranya digunakan untuk memanjat, mengalas dinding yang licin, membina kantung telur, menyimpan makanan, membalut mangsa dan sebagainya. Pendek kata, kehidupan mereka bergantung penuh kepada bebenang protein ini.

Jika dilihat daripada perspektif mata kasar, anyaman bebenang yang dihasilkan oleh labah-labah mungkin boleh dikatakan sebagai sesuatu yang sangat rapuh. Namun, kajian ilmiah telah menemui fakta sebaliknya.

Berdasarkan pemerhatian saintifik yang dilakukan oleh ahli anakrologi dunia, binaan sarang labah-labah didapati tiga kali ganda lebih kukuh daripada sarang serangga-serangga lain. Malah, sutera labah-labah adalah lima kali lebih kuat daripada besi keluli.

Perihal mengenai binaan sarang labah-labah ini turut disentuh oleh Allah s.w.t dalam kitab suci Al-Quran. Melalui surah Al-Ankabut, ayat 41 Allah berfirman; “Perumpamaan (bagi) orang-orang yang menjadikan selain dari Allah (sebagai) pelindung, umpama labah-labah yang membuat (tata’nith) sarang; dan sesungguhnya rumah yang paling lemah di antara rumah-rumah lainnya (adalah) sarang labah-labah…” (Surah Al-Ankabut; ayat 41).

Jika dibaca sekali imbas, ayat di atas dilihat seperti mengemukakan perbandingan yang berbeza dengan kajian saintifik moden. Namun, tafsiran ayat berkenaan sebenarnya merupakan suatu kiasan untuk menerangkan maksud yang lebih mendalam.

Apa yang dimaksudkan dengan kerapuhan sarang labah-labah di dalam ayat berkenaan boleh ditafsirkan kepada kepincangan hidup berumah tangga di dalam komuniti spesies haiwan ini. Perkara tersebut berlaku disebabkan si betina menjadi dominan dan menggalas tugas yang sepatutnya diterajui oleh si jantan.

Secara realiti, labah-labah betina hanya memerlukan labah-labah jantan apabila mereka ingin mengawan. Si betina pada mulanya akan cuba menarik perhatian si jantan untuk bersama dengannya. Namun, apabila proses mengawan selesai, labah-labah jantan akan diperangkap, seterusnya dibunuh dan dijadikan sebagai makanan. Bagi sesetengah spesies, labah-labah jantan ini juga akan dijadikan makanan kepada anak labah-labah yang bakal menetas.

Sesuai dengan kehidupan mereka yang tidak suka bersosial, anak labah-labah yang lahir pula akan berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan sumber makanan. Sampai ke satu tahap, labah-labah juga sanggup membunuh ibunya apabila merasakan diri mereka terancam. Pendek kata, kehidupan berkeluarga haiwan ini boleh diterjemahkan sebagai rumah tangga yang porak-peranda.

Daripada situasi ini, dapat dilihat bahawa betapa rapuhnya rumah si labah-labah kerana tiadanya hubungan kekeluargaan kerana masing-masing bersifat rakus dan mementingkan diri sendiri. Dan, kerapuhan itu dapat dilihat kerana tiadanya kasih sayang yang wujud sesama ahli keluarga.

Selain daripada kepincangan hidup berumah tangga, ayat daripada surah Al-Ankabut ini juga turut menyentuh tentang fakta biologi berkaitan dengan binaan sarang yang dianyam oleh labah-labah betina.

Melalui ayat ini, Allah menerangkan perkara tersebut menggunakan kata kerja ‘tata’nith’, yakni yang membawa maksud ‘sarang si betina’. Fakta itu adalah selari dengan kajian akademik pada abad ke-20 yang mendapati, hanya labah-labah betina sahaja membuat sarang, manakala labah-labah jantan pula sekadar menumpang.

Sudah pasti, ketika ayat ini diturunkan sekitar kurun ke-7 Masihi, perkara ini tidak pernah difikirkan oleh umat manusia. Namun, menjelang abad ke-20 fakta ini telah dibuktikan melalui kajian ilmiah. Secara tidak langsung, kita meyakini bahawa ilmu Al-Quran ternyata selari dengan ilmu pengetahuan moden.

____________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.