Oleh CHE MAN CHE WIL

Cerita ‘Si Pengembala Kambing dengan Harimau’ adalah cerita teladan zaman kanak-kanak yang sentiasa kekal dalam ingatan setiap orang. Bukan di Malaysia sahaja tetapi seluruh masyarakat dunia tahu mengetahui cerita ini walaupun dalam versi yang berbeza-beza.

Si pengembala kambing menipu orang kampung kononnya kambing-kambing belaan dia dibaham harimau. Kali pertama menjerit meminta tolong, orang kampung percaya dan datang membantu. Si pengembala sebaliknya ketawa berdekah-dekah melihat orang kampung tertipu.

Kali kedua dilakukan perkara yang sama. Orang kampung masih meluru mahu datang membantu tetapi rupanya terkena lagi. Tetapi tidak lagi untuk kali ketiga. Harimau betul muncul dan membaham kambing-kambing si pengembala. Jeritannya tidak dipedulikan sesiapa pun, kerana orang kampung tidak mahu diperdayakan lagi.

Kisah ini memberi teladan yang sangat baik. Jangan sesekali bercakap bohong kerana akibatnya buruk. Sekali terkena, sampai bila pun orang tak akan percaya.

Melihat kepada perkembangan terkini politik negara , kisah si pengembala kambing dan harimau ini ada sedikit persamaan dengan apa yang sedang berlaku kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua-dua mereka sedang berhadapan dengan krisis ‘kepercayaan’ dalam kalangan ahli parti dan rakyat. Kedua-duanya ada kisah yang hampir sama. Naratif politik kedua-dua ahli politik ini hampir sama.

Kisah Si Pengembala Kambing versi Anwar ini telah bermula seawal tahun 2008. Ketika itu Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat (PR) mendakwa mempunyai sokongan kira-kira 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berpaling tadah bagi menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar mendakwa ahli-ahli Parlimen tersebut akan ‘melompat’ pada 27 Ogos dan menjelang 16 September 2008 sebuah kerajaan baharu akan tertubuh. Bagaimanapun tarikh itu berlalu dengan tenang tanpa berlaku sebarang pertukaran kerajaan!

Kisah tersebut tidak mati di situ sahaja, 12 tahun selepas itu, kisah Si Pengembala Kambing versi Anwar ini muncul balik. Pada 23 September 2020, Presiden PKR itu muncul sekali lagi pada sidang akhbar dan mendakwa berjaya memperoleh ‘strong, formidable and convincing support’ daripada ahli-ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baharu sekali gus menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sampai sekarang , sokongan kuat dan menyakinkan itu tidak muncul-muncul malah percubaan Pakatan Harapan (PH) menggagalkan pembentangan Belanjawan 2020 pun tidak Berjaya.

Itu cerita Anwar. Zahid juga mempunyai cerita yang hampir sama sebagaimana Anwar.

Pada sekitar Oktober 2020 kecoh tentang sepucuk surat yang dihantar ke Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Surat tersebut didakwa ditandatangani oleh Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Walaupun telah tersebar luas dan menjadi rahsia terbuka, sehingga sekarang kedua-dua mereka tidak menafikannya.

Pada bulan Disember 2020 ketika krisis politik memuncak setelah Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu digulingkan menerusi undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak, Zahid membayangkan sebuah jajaran politik baharu yang melibatkan PH dan DAP ditubuhkan di negeri Perak bagi mengatasi krisis tersebut.

Selepas peristiwa tersebut, isu jajaran baharu politik yang melibatkan cadangan pembentukan kerajaan yang terdiri daripada UMNo, BN, PKR, DAP dan Amanah terus subur. Malah ada yang mendakwa segelintir pemimpin UMNO telah mengadakan perjumpaan dengan PKR dan DAP bagi tujuan tersebut. Presiden UMNO bagaimanapun menafikannya.

Terbaharu tersebar satu rakaman audio rakaman berdurasi empat minit 17 saat yang menyerupai suara Anwar dan Zahid berbual tentang Perhimpunan Agung UMNO 2020. Anwar dan Zahid bagaimanapun menafikan itu suara mereka.

Rentetan daripada rakaman audio tersebut beberapa pemimpin UMNO mula mendesak agar Zahid meletak jawatan sebagai Presiden parti tersebut manakala sebahagian lagi menggesa agar PAU 2021 tidak ditangguhkan bagi membolehkan pemilihan baharu diadakan.

Cerita Si Pengembala dengan Harimau versi Anwar menyebabkan beliau menarik ‘brek tangan’ serta-merta dan tidak lagi bercerita tentang ‘kita mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang kuat dan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu’ lagi.

Kisah yang sama versi Zahid pula dijangka menjadi pencetus kepada desakan yang lebih hebat dalam kalangan ahli-ahli UMNO supaya Zahid meletak jawatan dan pemilihan jangan ditangguhkan. Beberapa pemimpin UMNO mula membuat laporan polis agar rakaman audio itu disiasat.

Cerita Si Pengembala Kambing dengan Harimau ini merupakan kisah teladan kepada sesiapa sahaja. Cerita nasihat ini sangat berguna untuk dijadikan pedoman hidup. Jika tidak, cerita ini boleh berakhir dengan peribahasa ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah’ juga!

  • Penulis adalah pemerhati politik. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.