Kerinduan yang tiada penghujungnya, harus dibawa ke mana hati yang sarat dengan rindu apabila insan yang disayangi telah pergi selama-lamanya mengadap Sang Pencipta.
Lukisan daripada hati yang suci kanak-kanak ini mengundang sebak apabila kerinduannya terhadap arwah abang diluahkan menerusi sebuah lukisan.
Menurut ibu, Norunajwa Bt Safiei, anaknya Iman Qaiser amat rapat dengan abangnya, Adam namun terpisah antara dua dunia selepas Adam meninggal dunia akibat kanser.
Malah lukisan yang menggambarkan si abang terbaring kaku di pusara dengan sejambak bunga dan tanpa rambut cukup memilukan hati yang memandang.
“Lukisan rindu seorang adik.
“Dapat wassap dari guru tadika anak. Guru meminta anak murid melukis apa sahaja di fikiran mereka.
“Bila melihat hasil lukisan si anak, hati saya sebak. Gambar yang penuh makna tersirat.
“Lukisan hati seorang adik yang merindui abangnya. Rindu yang diluahkan melalui sebuah lukisan.
“Si Abang yang sangat rapat dengannya. Kini terpisah antara dua dunia. Dalam gambar tu, semua gambar berambut kecuali gambar yang di pusara itu. Botak tidak berambut.
“Abang Adam tidak berambut kesan daripada kimo. Tapi si Adik langsung tak pernah mempersendakan rambut si abang yang tiada rambut. Setiap malam tak pernah gagal sedekahkan al fatihah untuk si Abang.
“Moga Allah gantikan setiap kerinduan kamu dengan seribu kebaikan dan hikmah. InsyaAllah. Moga satu hari nanti kita semua sekeluarga akan bersatu di Syurga. Al fatihah.”





Sumber : Norunajwa Bt Safiei