Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berucap pada Majlis Pelancaran Malaysia Esports 2021 di Putrajaya bulan lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEJOHANAN Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang bermula dengan pusingan kelayakan pada 24 Mac lalu telah sampai ke kemuncak kejohanan pada hari ini selama tiga hari.

Sebanyak 16 pasukan daripada setiap kategori akan berentap untuk acara Grand Finale.

Menurut Pengerusi Penganjur MES 2021, Aimanhaq Zaharudin, keseluruhannya Kejohanan MES 2021 berjaya menghimpunkan lebih 2,000 atlet e-sukan negara.

Katanya, tawaran hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 akan menjadi rebutan dalam kalangan atlet yang bakal merangkul gelaran juara pada kejohanan ini.

“Penonton Kejohanan MES 2021 yang bertuah pula bakal memenangi dua buah telefon pintar dan sebuah Konsol PS5.

“Grand Finale akan membuka tirai dengan PUBGM pada hari pertama (Jumaat), manakala, FIFA 21 akan berlangsung pada hari Sabtu sebelum kemuncak acara iaitu Mobile Legend Bang Bang pada hari Ahad.

“Dijangkakan, Grand Finale MES 2021 akan menyajikan pelbagai kejutan buat peminat e-sukan negara terutamanya selepas Team Haq mencipta kejutan awal pada pusingan kelayakan yang lalu.

“Selain itu, penganjur turut berbangga dengan kejohanan ini kerana telah berjaya menarik minat pasukan antarabangsa yang terkemuka seperti Todak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: RM100,000 jadi taruhan Malaysia Esport Series 2021

Malaysia Esports Series 2021 cipta dimensi baharu

Penganjur dalam kenyataan itu juga menjemput peminat e-sukan negara untuk turut serta sepanjang Grand Finale kerana tips-tips dan komen terhadap kejohanan MES 2021 akan diberikan oleh atlet tersohor e-sukan iaitu MasterRamen dan Xorn.

“Penampilan lagenda bola sepak negara Safee Sali dalam pusingan akhir pada Sabtu ini turut memberi gambaran sokongan beliau terhadap perkembangan e-sukan di negara ini yang kian mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Artis tempatan yang terkenal dengan lagu bergenre balada ‘Peluang Kedua’, Nabila Razali juga akan hadir bagi merancakkan majlis penutup kejohanan MES 2021 yang bertemakan e-sukan bukan sekadar hobi pada Ahad ini,” ujar kenyataan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram