Selebriti dan usahawan Noor Neelofa tampil memohon maaf berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standrad (SOP) sewaktu majlis pernikahan beliau serta sepanjang lawatan kerja di pulau Langkawi, Kedah minggu lalu.
“Saya serendah dan seikhlas hati memohon maaf dengan segala kesalahan berhubung SOP tidak kiralah dalam pengetahuan ataupun tidak.
“Saya serta suami mengakui dan menerima dengan hati terbuka untuk segala keputusan serta tindakan pihak berkuasa.
“Sekali lagi saya memohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti tentang hal ini, ada banyak perkara terlepas pandang dan sepatutnya memberi contoh lebih baik mengenai hal itu,” kata Neelofa.
Dalam pada itu, Neelofa turut memberitahu dia dan suami bersama ahli keluarga masing-masing telah selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung dua isu tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini semua urusan telah selesai, kedua-dua belah keluarga saya dan Haris telah hadir ke IPD Dang Wangi untuk beri kerjasama dan keterangan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
“Saya dan Haris pergi pada awal minggu ini. Manakala keluarga suami pada beberapa hari lalu dan keluarga saya hari ini. Alhamdulillah semua urusan memberi keterangan telah selesai,” jelas Neelofa.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

