Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SELANGOR membenarkan umat Islam solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid dan surau sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, bagaimanapun imam dinasihatkan untuk membaca surah yang pendek atau ayat lazim, ketika melaksanakan solat sunat itu.

“Prosedur operasi standard (SOP) solat sunat tarawih sama seperti solat Jumaat, di mana jemaah perlu bawa sejadah sendiri, membuat semakan suhu, memakai pelitup muka dan mendaftar terlebih dahulu sebelum ke masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea Tautan Ukhwah Syarikat Korporat Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Shah Alam hari ini.

Mohd Zawawi Mughni pada Majlis Hi-Tea Tautan Ukhwah Syarikat Korporat Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Shah Alam hari ini

Baca artikel berkaitan: Ramadan: Lihat anak bulan Isnin depan, permulaan puasa berdasar Rukyah dan Hisab

Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak menghebahkan SOP solat sunat tarawih kepada umum, bagi mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan jemaah.

“Jadi kita taklimatkan sahaja kepada nazir dan pengerusi masjid yang bertanggungjawab, dalam memastikan protokol kesihatan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih,” katanya.

Pada 16 Mac, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan solat tarawih berjemaah di masjid tertakluk SOP ketat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram