PUTERA PHILIP./ Gambar FB The Royal Family

SUAMI Ratu Elizabeth II, Putera Philip, mangkat hari ini pada usia 99 tahun, menurut kenyataan rasmi Istana Buckingham.

Kemangkatan baginda berlaku beberapa bulan sebelum sambutan ulang tahun ke-100 Jun ini.

Pemergian Duke of Edinburgh itu ternyata kehilangan besar bagi Ratu berusia 94 tahun itu, yang pernah menyifatkan baginda sebagai tonggak kekuatannya selama ini.

Pasangan itu meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-73 pada November lalu.

Putera Philip dan Ratu Elizabeth II mempunyai empat anak iaitu Charles, Anne, Andrew dan Edward selain lapan cucu serta sembilan cicit.

Pasangan diraja itu tinggal berasingan di Istana Windsor yang terletak di sebelah barat London kerana usia tua menjadikan mereka berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Ratu Elizabeth II dan Putera Philip memperoleh suntikan vaksin COVID-19 pertama mereka pada awal tahun ini.

Putera Philip dimasukkan ke hospital pada 16 Februari lalu dan dibenarkan pulang selepas sebulan apabila selesai menjalani rawatan bagi masalah jantung.

Mengumumkan kemangkatan baginda, stesen televisyen BBC memainkan lagu kebangsaan sambil memaparkan gambar baginda lengkap berpakaian seragam ketenteraan.

Putera Philip, yang sentiasa berada di sisi Ratu Elizabeth II selama hampir lapan dekad, bersara dari tugas awam pada 2017, ketika berusia 96 tahun.

Putera Philip tidak asing dengan masalah kesihatan kerana sebelum ini baginda pernah menjalani pembedahan jantung bagi memasukkan ‘stent’ pada 2011 kerana masalah arteri tersumbat.

Baca artikel berkaitan: Ratu Elizabeth cari pentadbir media sosial, gaji RM149,409

Baginda juga pernah menjalani pembedahan pinggul pada 2018 dan pada 2019 pula terbabit dengan kemalangan jalan raya di ladang Sandringham di timur England, yang mencederakan dua orang.

Kali terakhir baginda dilihat muncul di khalayak ramai ialah ketika upacara ketenteraan di Istana Windsor pada Julai lalu, selang beberapa hari selepas menghadiri majlis perkahwinan cucu perempuannya, Puteri Beatrice.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram