ada kata audio
ISMAIL SABRI YAAKOB -Gambar fail FB UMNO Online

JIKA tanya Tan Sri Annuar Musa, beliau sangat yakin yang rakaman audio didakwa suara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen.

Namun bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula, beliau tidak berani mengatakan seperti apa yang didakwa Ahli Parlimen Ketereh itu.

Sebaliknya, seperti mana komen yang berpaksikan Rule of Law tanpa melangkaui pihak berkuasa, Naib Presiden UMNO itu menyerahkan kepada polis sebagai jalan terbaik untuk menentukan kesahihan rakaman audio itu.

“Ada yang kata ia betul, ada yang kata palsu. Jalan terbaik adalah polis punya siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis program Bangkit 15 peringkat negeri Johor hari ini.

Baca artikel berkaitan: ”Selepas dengar 10 kali, saya cam suara itu, 100 peratus suara tulen – dakwa Annuar

Tambah Menteri Kanan Keselamatan itu, beliau mengakui sejak rakaman audio itu tersebar, wujud perbezaan pandangan dalam UMNO.

Katanya, beliau juga tidak berani hendak mengatakan yang penyebaran audio tersebut bertujuan memecahbelahkan parti.

“Setakat ini saya tak berani kata.. tak nak kata memecahbelahkan parti.. tetapi perbezaan pandangan itu ada,” jelasnya seperti dilapor BERNAMA.

Mengulas gesaan yang mahukan Ahmad Zahid mengundur diri sebagai Presiden UMNO kerana dibayangi beberapa isu termasuk kes mahkamah, Ismail Sabri berkata, UMNO parti yang bebas dan demokratik; selain ahlinya bebas mengeluarkan hujah dan pandangan.

“Kita tidak pernah menyekat pandangan daripada sesiapa pun sejak dari dahulu lagi dan ini adalah cara UMNO.

“Jadi terserah kepada ahli-ahli untuk cakap apa-apa, tetapi akhirnya kitalah yang akan buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengakui wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), namun beliau yakin perbezaan itu tidak akan memecah belahkan gabungan berkenaan.

Katanya, beliau turut yakin MCA dan MIC akan terus bersama BN dalam usaha melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran politik pada masa depan.

“Saya percaya tiada fakta menunjukkan mereka tidak akan bersama (BN). Perbezaan pandangan memang ada, bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO, tetapi dengan komponen pun kadang-kadang (ada), dari dahulu pun, waktu kita menjadi kerajaan kenyataan yang dibuat oleh parti komponen agak keras dan kita tidak pernah berpecah pun.

“Apabila BN kalah pada Pilihan Raya Umum lalu, banyak parti lain meninggalkan kita, tetapi MCA dan MIC terus kekal bersama kita, jadi pandangan berbeza tidak akan memecahbelahkan antara parti di dalam BN dan saya yakin mereka akan terus kekal bersama BN,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram