potong kuku ikut hari

Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu, keluar daripadanya penyakit dan masuk ke dalamnya penyembuhan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Ahad, keluar daripadanya kefakiran dan masuk ke dalamnya kekayaan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Isnin, keluar daripadanya penyakit dan masuk kepadanya kesihatan,

Sesiapa yang mengerat kuku pada hari Selasa, keluar daripadanya al-Baros dan masuk ke dalamnya al-’Afiah, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Rabu, keluar daripadanya waswas dan ketakutan dan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Khamis, keluar daripadanya al-Jadam dan masuk kepadanya al-’Afiah

Dan siapa yang mengerat kukunya pada hari Jumaat, masuk kepadanya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa.”

Ini adalah kenyataan yang kononnya disandarkan sebagai hadis dari Rasulullah s.a.w.  Sekali imbas, ‘hadis’  berkenaan cuba  mengajak  masyarakat supaya potonglah kuku pada hari-hari yang ditetapkan. Namun sejauhmana status hadis ini? Adakah sahih atau palsu?

hati-hati dengan penyebar hadis palsu berkaitan fadilat sesuatu amalan

Menurut Ibnu Jauzi dalam al-Maudhuaat serta al-Syaukani dalam  al-Fawa-id al-Majmu’ah menyatakan, taraf hadis ini adalah palsu. 

Anda juga mungkin pernah mendengar tentang hadis,

“Sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Jumaat sebelum menunaikan solat, Allah mengeluarkan daripadanya penyakit dan menggantikan tempat penyakit itu dengan penyembuhan dan rahmat.” 

Hakikatnya, ramai yang beramal dengan hadis tersebut demi mengejar pahala yang dijanjikan Allah.  Namun sayangnya hadis di atas juga, menurut al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wa al-Maudhuah, ia dikategorikan sebagai  hadis yang terlalu lemah.

Kenyataan ini turut disokong oleh al-Hafidz al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah yang menyebut,

Tidak sabit tentang kaifiatnya (kelebihan memotong kuku), tidak sabit juga tentang menentukan hari untuk memotong kuku daripada Nabi s.a.w. sesuatu hadis pun.”

Susunan jari

Tetapi bagaimana pula tentang susunan jari yang ditentukan ketika memotong kuku?  Apakah statusnya juga dikatakan palsu, dhaif atau ia hanya sekadar perbincangan di kalangan ulama? 

Apa pun, menyebut perihal memotong kuku, tidak dinafikan, Rasulullah s.a.w  pernah menyarankan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda,  

Fitrah itu lima: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, memotong misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak”  HR Muslim

Memotong kuku adalah fitrah dan ia dinyatakan di dalam hadis daripada Aisyah r.ha.

“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: “berkata Mus’ab: “Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur.” HR Muslim

Setiap suruhan dari Baginda s.a.w. itu mengandungi hikmah tersendiri. Dan hikmah memotong kuku adalah untuk menghilangkan segala kekotoran yang melekat atau berkumpul dicelah-celah kuku. Jika terdapat kekotoran pada bahagian bawah kuku ia akan menyekat air sampai ke bahagian tersebut ketika bersuci.

Bukan itu sahaja, jika terdapat kekotoran atau najis melekat pada bawah kuku, menyebabkan kesihatan seseorang  terjejas. Islam mensyariatkan supaya memotong kuku kerana ingin membezakan antara manusia dengan binatang baik dari aspek kesihatan mahupun fizikalnya.

Artikel Berkaitan: Perlukah dipotong kuku jenazah?

Taharah (kebersihan) menjadi elemen utama dalam bab fiqah. Malah kebersihan diberi keutamaan sebelum bab beribadat. Tertib sebelum solat, adalah mengambil wuduk.

Manakala tertib mengambil wuduk perlu bersih dari hadas besar dan kecil. Begitulah telitinya hal-hal kebersihan dalam memulakan ibadat yang ditetapkan dalam Islam. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara dititik beratkan dalam Islam. Tujuannya tidak lain bagi menjaga dan memelihara umat Islam secara syumul. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram