Wang RM114 juta
Selepas 3 tahun disita, kerajaan hari ini gagal lucut hak wang RM114 juta yang disita dalam operasi 17 Mei 2018 dari sebuah premis di Pavillion Residences.

DALANG utama kes pengubahan wang haram, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh dan adiknya, Goh Yeong Hui akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Alvin dan Yeong Hui akan dituduh dengan tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAAA).

Kedua-duanya didakwa menerima wang berjumlah RM2.14 juta hasil daripada aktiviti haram pada September 2019 sehingga November 2019.

Pertuduhan tersebut adalah berkaitan tangkapan ratusan warga China di Cyberjaya.

Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan AMLA dan menyita RM482,508.19 kepunyaan syarikat Alvin.

“Syarikat Alvin didapati membenarkan imigran larangan berada di premis miliknya dan menjalankan aktiviti berkaitan penipuan dalam talian.

“Kedua-dua beradik ini juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Semenyih pada hari sama di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” kata JIM dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Macau Scam: 12,000 aduan dan RM579 juta ‘lebur’ sejak 2019

Media sebelum ini melaporkan dua suspek kes penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan aktiviti Macau Scam iaitu Alvin dan Addy Kanna ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 2 Oktober tahun lalu.

Alvin merupakan antara 10 individu ditahan SPRM dengan kes tersebut mendapat perhatian meluas apabila lapan daripada mereka yang ditahan adalah pegawai polis termasuk seorang Asisten Komisioner (ACP).

SPRM juga telah merampas wang tunai RM100,000 dan 24 kereta mewah.

Pada 11 Oktober lalu, SPRM membebaskan semua suspek dengan jaminan dan beberapa orang dariapda mereka termasuk Alvin diserahkan kepada polis untuk siasatan berasingan.

Walau bagaimanapun, suspek dikatakan memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi yang sudah bersedia bersama sebuah kereta menunggu di tepi jalan sebelum meloloskan diri daripada tangkapan polis yang sedia menunggu di pintu pagar utama bangunan SPRM.

Alvin kemudiannya ditahan semula pada penghujung Oktober tahun lalu selepas dikesan bersembunyi di sebuah pusat peranginan di Pahang.

Dia dan Addy serta dua lagi anggota polis turut dikenakan tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

Alvin ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis, manakala Addy ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah dan seorang lagi anggota polis ditahan di Penjara Bentong, Pahang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram