GEMPA BUMI dengan kekuatan 6.1 magnitud menggoncang wilayah selatan daerah Malang, Jawa Timur Indonesia semalam mengakibatkan kematian lapan orang penduduk setakat malam tadi.
CNN Indonesia melaporkan, gempa yang berlaku pada pukul 2 petang waktu tempatan itu turut mencetuskan lima gempa susulan selain mengakibatkan lebih 300 rumah rosak.
“Melaporkan perkembangan kejadian gempa bumi di laut barat daya daerah Malang pada hari Sabtu, 10 April 2021 pukul 21.00 WIB (9 malam waktu tempatan), 8 orang dinyatakan meninggal dunia,” kata Ketua Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Timur, Yanuar Rachmadi.

Yanuar berkata, dari lapan jumlah mangsa terbunuh, sebanyak lima orang di antaranya berada di Lumajang manakala tiga orang lainnya berada di daerah Malang.
“Kesemua mangsa meninggal dunia akibat tertimpa bahan bangunan selain ada pula yang dihempap runtuhan tebing di jalur Lumajang-Malang,” katanya.
Selain korban meninggal, terdapat seorang mangsa cedera parah manakala sebanyak 24 orang lagi mengalami cedera ringan.
Tambahnya, kesemua mangsa kini mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
Sementara itu, berdasarkan data yang didapat BPBD dari Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa bumi yang pada awalnya berkekuatan magnitud 6.7 disemak semula dan ditetapkan pada magnitud 6.1 pada skala Richter.
Lima gempa susulan iaitu gempa magnitud 3.2 pada pukul 2.53 WIB (Waktu Indonesia Barat), gempa magnitud 3.6 pada pukul 3.05 WIB, gempa magnitud 3.3 pukul 4.04 WIB, disusuli magnitud 3.4 pukul 6.36 WIB dan gempa magnitud 4.1 pukul 7.49 WIB.
Lokasi pusat gempa itu antara lain 77, 75, 72, 79 dan 67 kilometer barat daya daerah Malang, Jawa Timur, pada kedalaman 46, 41, 43, 45 dan 48 kilometer.
Dalam perkembangan berkaitan, gempa Malang dengan magnitud 6.1 itu menyebabkan kerosakan bangunan rumah di sejumlah wilayah Jawa Timur.
Data BNPB hingga pukul 8.00 malam, lebih dari 300 rumah dilapor rosak BNPB yang memetik sejumlah data dari BPBD di wilayah Jawa Timur (Jatim) mendapati, sebanyak 11 rumah rosak teruk, 194 rumah mengalami rosak sederhana manakala 126 lagi rosak ringan.
Selain itu, sejumlah kerosakan kemudahan awam antara lain prasarana pendidikan 11 unit, pejabat kerajaan 7, prasarana agama 6, hospital 1 dan pondok pesantren 1.