BEKAS jaguh menembak negara yang pernah menyertai Sukan Olimpik Los Angeles 1984, Datuk Sabiamad Abdul Ahad meninggal dunia malam tadi di Hospital Serdang, Selangor.
Allahyarham, 65, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 11 malam tadi di hospital tersebut selepas dibawa untuk mendapatkan rawatan dipercayai serangan jantung.
Menurut kenyataan anaknya di laman Facebook https://www.facebook.com/sabiamad.ahad, jenazah Allahyarham akan diuruskan di Surau al-Mujahidin, Taman Desa Surada, Bangi pagi ini.
Allahyarham kemudiannya akan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Ramal Dalam, Kajang.
“Maafkan jika ada salah silap arwah ketika arwah bersama-sama kita.,” kata anaknya dalam hantaran di Facebook milik bapanya.
BERITA BERKAITAN Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu berpotensi jadi pusat rekreasi antarabangsa
Sementara itu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) turut memuatnaikkan mengenai berita pemergian bekas penembak negara tersebut di dalam Tweeternya.
“Takziah kepada keluarga lagenda sukan menembak Negara (Sukan Olimpik, LA 1984) Datuk Sabiamad Abd Ahad (No Ahli : 708) yang telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.
“Semoga roh beliau ditempatkan bersama org2 yg beriman. Al-Fatihah,” kata yayasan itu malam tadi.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham selepas mengetahui mengenai berita tersebut.
“Innalillahiwainnailaihirojiuun. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam status Twitter miliknya. – Utusan TV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

