Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad

UMAT Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok seperti mana pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Selasa, 1 Ramadan bersamaan 13 April menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 29 kawasan terpilih ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

Baca artikel berkaitan: Ramadan: Lihat anak bulan Isnin depan, permulaan puasa berdasar Rukyah dan Hisab

Lokasi melihat anak bulan Ramadan tahun ini ialah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); manakala di Kedah di Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi serta Menara Alor Setar.

Bagi Terengganu pula ialah di Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu), manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu.

Tiga tempat di Sarawak ialah Esplanade Luak (Miri), Teluk Bandung (Kuching) dan Tanjung Batu (Bintulu); satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan; serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram