Kopiah dengan hiasan didakwa logo capal Nabi banyak dijual di pasaran./ Gambar hiasan media sosial

“KITA yakin Nabi Muhammad SAW pun tidak menyukai capal yang digunakan di kaki tiba-tiba (logo) diletakkan di atas kepala.”

Itu penegasan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berhubung keghairahan segelintir pihak kebelakangan ini berhubung logo capal.

Logo itu dikaitkan simbolik kepada capal Rasulullah SAW bagi pihak berkenaan termasuk peniaga seperti topi, kopiah dan baju yang seakan menjadi trend ketika ini.

Justeru, tegas Syeikh Fadzil, umat Islam tidak digalakkan memakai perhiasan di kepala, termasuk songkok yang mempunyai lakaran atau logo capal kerana ia bercanggah dengan norma fitrah insani.

Kata beliau, ini kerana kepala manusia adalah tempat yang mulia, sedangkan capal tempatnya adalah di kaki.

“Kita yakin Nabi Muhammad SAW pun tidak menyukai capal yang digunakan di kaki tiba-tiba diletakkan di atas kepala. Itu bercanggah dengan norma fitrah insani.

“Sekiranya ada dijual capal seperti Nabi Muhammad pakai, tidak ada sebarang masalah untuk kita beli dan pakai, cuma kita minta masyarakat boleh menilai sesuatu perkara yang bercanggah dengan fitrah,” katanya seperti dipetik dari laporan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media penetapan kadar zakat fitrah Kedah 2021 di Menara Zakat di Alor Setar, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman.

Baca artikel berkaitan: Alihkan replika capal, tutup pintu fitnah – Jabatan Mufti Perak

DATUK SYEIKH FADZIL AWANG ulas apa yang didakwa logo capal Nabi Muhammad

Fadzil berkata, isu tabarruk (mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW) berlaku pada zaman sahabat, namun sahabat mengambil keberkatan daripada peralatan, pakaian dan sebagainya yang sebenar digunakan Nabi Muhammad.

Katanya, ia termasuk rambut, serban, baju dan capal yang dipakai oleh baginda.

“Contoh yang lain ialah kayu sugi digunakan baginda, isteri baginda, Saidatina Aishah RA turut menggunakan kayu sugi baginda, itulah yang dinamakan tabarruk.

“Ini pula hanyalah sekadar lakaran dan logo dan ia tidaklah seperti tabarruk yang dilakukan oleh sahabat baginda,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram