Bekas penyampai radio, Suby meninggal dunia

0
131
suby

BEKAS penyampai radio Era dan Suria FM, Suby,55, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor, pada pukul 1.38 petang tadi.

Memetik laporan Harian Metro, isteri Suby, Aishah Saironi,57, memaklumkan arwah suaminya sebelum itu menjalani pembedahan membuang sebahagian usus sepanjang 1.8 sentimeter pada pukul 3.30 petang di hospital berkenaan.

“Antibiotik kuat yang diberi pada tubuh Suby tidak berkesan. Dia meninggal dunia selepas azan Zuhur pada jam 1.38 petang tadi,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, Sepang pada petang ini.

Terdahulu, Suby atau nama sebenarnya Subarma Mokhtarudin,56, mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017.

Suby juga pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan terbabas dari Cyberjaya untuk pulang ke rumah di Dengkil pada Ogos tahun lalu.

Walau bagaimanapun, arwah tidak mampu mengingati kejadian itu apabila ditanya isteri dan anak-anaknya.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai seorang penyampai radio sejak 23 tahun lalu dan pernah berkhidmat di stesen radio Era dari 1998 hingga 2004.

Setelah itu, arwah bertugas di stesen radio Sinar FM pada 2004 selama empat tahun sebelum berhijrah ke radio Suria FM sejak 2008 hingga 2017.

Jawatan terakhirnya ialah sebagai Pengurus Besar Rancangan Suria berkuatkuasa pada Jun 2016.

Arwah meninggalkan seorang balu dan sepasang cahaya mata, Nor Adibah,24 dan Muhammad Yusuf,19 tahun.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi