Benarkah meninggal dunia di bulan RAMADAN terlepas seksa kubur? Ini penjelasannya

0
347
meninggal dalan bulan Ramadan

Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Al Islam menarik perhatian. Bunyinya, “Ibu angkat saya seorang yang tidak pernah solat sepanjang hayatnya. Bahkan tidak pernah puasa. Tapi dia seorang yang cukup baik. Bukan sahaja dengan ahli keluarganya bahkan dengan masyarakat sekeliling.

Dukacitanya, Ramadan yang lalu, dia telah dijemput Allah. Saya pernah mendengar orang berkata, mati bulan Ramadan banyak rahmatnya termasuk di antaranya tidak dikenakan seksa kubur?  Benarkah?”. 

SMS tersebut berhenti di situ. Jadi persoalannya, apakah mungkin mereka yang tidak pernah menunaikan ibadah juga mendapat rahmat Allah? Apatah lagi mendapat keistimewaan di sisi Allah apabila meninggal dalam bulan Ramadan? 

Menjawab persoalan ini, Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani menjelaskan, tiada hadis yang mengkhususkan kelebihan bagi mereka yang meninggal dunia pada bulan Ramadan.

Sebaliknya, hadis yang mengisahkan kelebihan bagi mereka yang meninggal dunia dalam keadaan berpuasa tidak kira di dalam bulan Ramadan ataupun tidak, ada disebutkan.

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan dihukumkan sahih oleh al-Albani dalam kitabnya Ahkam al-Jana’iz. Rasulullah s.a.w bersabda,

Barang siapa yang mengucap laa ilaha illallah dengan penuh ikhlas semat-mata mencari keredaan Allah, Allah akan mengakhiri hidupnya dengan kalimah tersebut dan ia masuk  ke dalam syurga dan barang siapa yang berpuasa dengan penuh ikhlas mengharap keredaan Allah, Allah pasti akan mengakhiri hidupnya dengan dia akan masuk ke dalam syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah dan mengharap pahala keredaan Allah, Allah akan mengakhiri hidupnya dengannya dan dia masuk syurga.” 

Seksa kubur untuk mereka yang ingkar dengan perintah Allah

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah menjelaskan, kelebihan ini hanyalah dijanjikan untuk orang yang beramal soleh dan mengakhiri hidupnya dengan kebaikan. Bukan semata-mata meninggal dunia pada bulan Ramadan.

Begitu juga tentang isu pelepasan dari azab kubur bagi mereka yang meninggal dunia pada bulan puasa, tidak ada sebarang dalil daripada nas-nas al-Quran mahupun mana-mana hadis yang menerang dan membuktikannya.

Pun begitu, sebagai saudara sesama Islam perlulah berdoa dan memohon supaya perjalanan mereka menuju alam barzakh berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan mendapat keredaan Allah S.W.T.

Tiada sebarang fadilat untuk mereka yang meninggal di bulan Ramadan jika mereka tidak berpuasa sebagaimana hadis yang disebutkan. Sebaliknya jika mereka dalam keadaan berpuasa, pastinya Allah menjanjikan sesuatu untuk mereka. Itu semua perancangan Allah untuk hamba Nya.

Meninggal di bulan puasa atau bulan biasa tidak perlu dijadikan isu. Tetapi apa yang penting bagaimana kita sebagai umat Islam perlu berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah S.W.T.  

Carilah keredaan Allah supaya dipermudahkan segala urusan di dunia, dan di akhirat.

Sebaliknya perkara yang perlu diambil berat dalam hidup kita sebagai orang Islam ialah percaya kepada Allah dan perlu sentiasa berpegang kepada suruhannya. Semua manusia yang mengikut segala titah perintah Nya akan mendapat keredaan Allah S.W.T.

Dan apabila seseorang itu berjaya mendapat keredaan Allah, maka Allah menjanjikan syurga buat mereka.  Sabda Rasulullah s.a.w,

“Setiap umat ku akan memasuki syurga kecuali mereka yang enggan.” Lantas para sahabat bertanya, “siapakah yang enggan?”Jawab Baginda s.a.w, “Sesiapa yang mentaati aku nescaya akan masuk ke dalam syurga, dan barang siapa yang menderhaka ku, sesungguhnya ia enggan (masuk syurga).”

Dalam hal ini apa yang penting reda Allah bukan sahaja perlu mentaati Nya sebaliknya turut mentaati Rasulullah s.a.w. Wallahu a’lam

Artikel Berkaitan: 4 nikmat kubur

________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram