chef wan
CHEF Wan memuat naik gambarnya ketika diperiksa pegawai kesihatan (gambar kiri), manakala gambar dia bersama anak Serena dan menantu, Meor Mohamad Aidid.

PENGAKUAN suami kepada Serina Redzuawan, Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin yang perkahwinan mereka dilangsungkan ketika dia masih lagi suami yang sah kepada bekas isteri pertamanya menarik perhatian bapa aktres itu, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Meor Mohammad sebelum ini mengaku isteri pertamanya juga tidak mengetahui mengenai perkara perkahwinan tersebut ketika ia dilangsungkan tetapi mereka bercerai kemudiannya walaupun dikatakan bukan disebabkan Serina.

Perkahwinan mereka sebelum ini menjadi kontroversi apabila dikatakan dilangsungkan di Thailand dan berstatus suami orang tetapi Serina menafikannya dan mengatakan mereka berkahwin secara sah di Perlis dan suaminya merupakan seorang duda..

Bagaimanapun, bekas isteri Meor Mohammad kemudiannya membuat pendedahan bahawa ketika perkahwinan Serina berlangsung, dia masih berstatus isteri yang sah kepada pegawai polis tersebut dan hanya bercerai kemudiannya.

Cef Wan dalam Instagramnya hari ini berkata, menantunya itu sepatutnya berterus terang mengenai situasi sebenar yang dihadapinya dan tidak cuba menyembunyikan sesuatu kerana ia akan menimbulkan prasangka buruk seperti yang sedang berlaku sekarang.

“Akhirnya bekas suami buka mulut beritahu kebenaran. Sebab itu dari awal saya dah nasihat jangan bermain api depan-depan dia di rumah saya.

“Saya akan tahu semua ini secepat yang anda fikirkan. Saya lihat wajah dia dan berkata ‘tolong jangan tipu saya jika anda sudah bercerai atau tidak dengan isteri pertama’.

“Kalau anda tidak gembira dan tiba masa untuk teruskan hidup, saya faham tapi saya tidak mahu terlalu fikirkan masa lalu anda sebab ia bukan urusan saya untuk buat andaian atau bersangka buruk seperti orang di luar sedang lakukan,” tulisnya.

Chef Wan turut memuat naik paparan skrin artikel mStar semalam berhubung pengakuan Aidid mengenai status sebenarnya ketika berkahwin dengan Serina.

Menerusi artikel tersebut, Aidid mengaku berkahwin dengan aktres tersebut ketika masih bergelar suami orang, namun menafikan dakwaan bahawa Serina menjadi punca perceraiannya dengan bekas isteri pertama Nur Hamizah Shaffee, 34.

Sebaliknya, kata Aidid hubungan perkahwinan yang dibina dengan wanita itu sudah lama retak menunggu belah dan dia juga sudah tawar hati dengan bekas isterinya itu.

Dalam pada itu, melalui pesanan di Instagram itu, cef terkenal berusia 63 tahun ini berharap apa yang terjadi kepada keluarganya itu dapat memberi pengajaran kepada orang ramai.

“Itu sebab Allah suruh jadi bapa dan ibu kena bertanggungjawab fasal anak kita. Biarpun buat silap tetap kita mengaku silap! Pengajaran untuk semua! Tidak perlu sikit-sikit aibkan keluarga bapa mereka la.

“Sedangkan saya la mangsanya di sini dimakikan orang. Ya, saya cakap memang kasar! Untuk orang yang layak menerimanya. Berani buat berani tanggunglah. Biarlah berlaku jujur dan jika salah mohon sahaja maaf.

“Sangat menarik bila terlalu ramai orang bodoh yang hanya pandai berkata-kata. Tak kena batang hidung anak masing-masing senanglah cakap!

“Padahal berapa kali kita dengar cerita yang sama berulang kali mengenai lelaki yang nak kahwin isteri kedua atau ketiga pun sama cerita atau penipuan yang lebih kurang sama pada akhirnya memalukan kita sebagai ibu bapa,” katanya.

Che Wan juga semalam dalam Instagramnya menyatakan anaknya memarahinya kerana dikatakan cuba mengaibkan mereka tetapi dia berkata perkahwinan yang dilakukan secara senyap-senyap tersebut telah membuatkan kehidupannya terganggu sehingga menjejaskan kesihatan jantungnya.

“Biar la orang tahu cerita sejujur jujurnya agar bapak kau ni tak jadi mangsa di maki hamun oleh orang. Berani kerana benar Rina,” katanya mencerita situasi tersebut sambil memuat naik gambarnya sedang diperiksa oleh pegawai kesihatan.