BARU sahaja dilaporkan mengenai rampasan ke atas daging beku import, hari ada lagi tindakan sedemikian dilaporkan.

Yang terbaharu lebih 70 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara.

Rampasan itu hasil pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Dalam pemeriksaan pada 2.20 petang semalam itu, terdapat empat kontena yang membawa masuk konsainan berkenaan, yang tidak mematuhi syarat permit import dikeluarkan oleh MAQIS.

Pengarah MAQIS negeri, Noriah Dahlan berkata, keseluruhan dagangan itu juga gagal mempamerkan maklumat yang dikehendaki pada syarat import permit yang diluluskan.

“Berikutan itu, semua daging kerbau sejuk beku dianggarkan seberat 70,650 kilogram (kg) dan bernilai RM614,605 dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis bongkar komplot 19 syarikat daging sejuk beku, termasuk edar daging diragui halal

Tak serik-serik, lagi daging import diragui halal dirampas

Beliau berkata, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import MAQIS satu kesalahan mengikut Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 (2), akta yang sama.

“Dalam seksyen ini, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram