“Ramai lagi yang nak jadi polis. Yang tak guna ini kita akan buang cepat..”- Amaran Ayob Khan kepada polis korup

0
12647
ayob
AYOB Khan Mydin Pitchay pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.

KONTINJEN Polis Johor mempunyai cara tersendiri dalam mengambil tindakan terhadap pegawai atau anggotanya yang disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah atau jenayah.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, cara tersebut akan mempercepatkan proses mengambil tindakan terhadap anggota polis bermasalah berbanding jika diambil tindakan tatatertib biasa.

Katanya, sebaik sahaja mengesan terdapat pegawai atau anggota polis Johor disyaki melakukan kesalahan, perkara pertama yang akan dilakukan adalah adalah membuka kertas siasatan untuk dibawa ke mahkamah

“Kalau ia membabitkan kes rasuah yang besar, kami akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan langkah ketiga akan diserahkan untuk tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor hari ini.

Katanya, tindakan tangkap, buka kertas siasatan dan menuduh suspek di mahkamah dan kalau sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan buang kerja.

“Tindakan ini akan memudahkan polis membersihkan pasukan dari anggota bermasalah kerana tindakan seperti dibawa ke jawatankuasa tatatertib akan mengambil masa terlalu lama,” katanya.

Ayob Khan juga berkata, lapan anggota polis di Johor telah dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan dadah, sejak awal tahun ini.

Katanya, seramai 12 anggota lagi akan dikenakan tindakan buang kerja pada minggu depan.

“Dalam tempoh yang sama, seramai 59 orang warga polis di Johor membabitkan empat pegawai kanan dan 55 anggota ditahan kerja, manakala 11 anggota digantung kerja.

“Kita jangka lebih ramai lagi akan dibuang kerja pada tahun ini melepasi jumlah yang dikenakan tindakan sepanjang tahun lalu, membabitkan seorang pegawai awam dan 45 anggota.

“Ini bukanlah satu kebanggaan apabila saya katakan tindakan buang kerja membabitkan (Ibu Pejabat Polis) Kontinjen Johor yang tertinggi dalam negara.

“Tapi ini membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang bermasalah dan menunjukkan ketegasan kita dalam mengambil tindakan dalaman tanpa melibatkan institusi luar,” katanya.

Ayob Khan berkata, banyak kes dadah membabitkan anggota dan pegawai polis dan mereka ini tidak akan diberikan peluang kedua, sebaliknya akan terus dibuang kerja.

“Mereka ini tidak perlu diberi peluang kedua pun. Kalau kita dapati mereka ini positif, kita akan buang … menggunakan kaedah yang paling cepat dengan membuka kertas siasatan terhadap mereka.

“Ramai lagi yang nak jadi polis. Yang tak guna ini kita akan buang cepat. Jangan dibiarkan hingga menjadi barah,” ujarnya.

SEKILAS
Tindakan tata tertib Polis Johor

Tahan Kerja
2021 – 59 orang (4 pegawai kanan, 55 anggota)
2020 – 31 orang anggota

Gantung Kerja
2021 – 11 orang anggota
2020 – 15 orang anggota

Buang kerja
2021 – 8 orang anggota
2020 – 46 orang (45 anggota, 1 pegawai awam)

– UtusanTV