amyra rosli

DRAMA Nur yang pernah mencetus fenomena dan mencatat jumlah tontonan tinggi di TV3 dan digital, kini melebarkan tayangannya ke Indonesia melalui kolaborasi Sistem Televisyen Malaysia Berhad dengan MNCTV.

Melalui perjanjian tersebut, Nur musim 1 dan 2 akan ditayangkan secara serentak dalam semua rangkaian platform MNC Media bermula pada hari pertama bulan Ramadan.

Menurut Ketua Pegawai Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, pihaknya teruja dengan kolaborasi berkenaan dan ia merupakan satu langkah yang tepat memandangkan populariti drama Nur dan jumlah tontonan yang di raih stesen TV3.

“Kami juga gembira kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperluaskan lagi sayap drama ini ke luar negara,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Program MNCTV, Endah Hari Utari, berpendapat drama Nur memiliki elemen menghiburkan selain hasil produksi yang hebat.

“Kami merasakan yang drama bersiri Nur ini sangat menarik, menghiburkan dan merupakan sebuah hasil produksi yang hebat. Ini merupakan alasan utama kami memilih Nur.

“Drama ini akan menjadi tambahan variasi kepada kandungan sedia ada dan berbeza berbanding program-program yang biasa ditayangkan dalam MNCTV sebelum ini. Kami juga yakin yang drama hebat ini akan mengimarahkan lagi suasana bulan Ramadan dalam MNCTV,” ulasnya.

Drama kegemaran ramai ini merupakan arahan pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin itu dibintangi barisan pelakon handalan seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Datuk Jalaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar.

Mengisahkan dilema kisah cinta dua insan dengan latar belakang yang berbeza, tentang hubungan cinta terlarang di antara seorang ustaz muda bernama Adam dengan seorang pelacur wanita bernama Nur yang digelar ‘gadis lorong’ dan tidak mendapat didikan agama yang sempurna. Kisah cinta tragis yang mendapat tentangan hebat dari keluarga dan masyarakat.