Kes naik lagi cecah 1,889, Selangor & Sarawak tertinggi

0
276

KEBIMBANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa kemungkinan negara bakal berhadapan dengan gelombang keempat ada signifikannya apabila kes baharu harian Covid-19 makin menunjukkan peningkatan.

Selepas merekodkan 1,767 kes baharu semalam, hari ini kes baharu Covid-19 seluruh negara terus mencatatkan peningkatan iaitu mencecah 1,889 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Selangor dan Sarawak menjadi dua negeri tertinggi yang mencatatkan kes baharu hari ini masing-masing sebanyak 517 dan 489 kes.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kes baharu di kedua-dua negeri itu adalah lebih separuh daripada jumlah kes keseluruhan yang dicatatkan hari ini.

Kata Noor Hisham, jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini juga menjadikan kes aktif Covid-19 dalam negara meningkat kepada 16,696 kes manakala kes kumulatif berjumlah 365,829.

“Daripada jumlah 517 kes yang dicatatkan di Selangor hari ini, sebanyak 379 atau 73.3 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sarawak sebanyak 489 kes (25.9 peratus) dan Kelantan sebanyak 226 kes (12 peratus).

“Sebanyak 94 kes yang dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sri Aman iaitu sebanyak 76 kes, Kluster Penjara Jalan Harapan (14 kes) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (4 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kes naik lagi cecah 1,889, Selangor & Sarawak tertinggi

Tambah Noor Hisham, seramai 204 individu dilaporkan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 79 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai kes kematian pula, Noor Hisham memaklumkan terdapat lapan kes kematian dilaporkan hari ini yang melibatkan lima kes di Sarawak dan masing-masing satu di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.

“Sebanyak tujuh kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara sekali gus menjadikan kes kematian kumulatif sejak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak 1,353 kes,” jelas beliau.

Sementara itu, Noor Hisham turut memberitahu terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini melibatkan enam kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Katanya, dua kluster baharu yang dikenal pasti berada di Sabah dan Selangor manakala masing-masing satu kluster baharu di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

“Jumlah kluster aktif ketika ini adalah sebanyak 342 dengan 72 daripadanya mencatatkan penambahan kes baharu.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah melibatkan Kluster Tembok Sri Aman (76 kes), Kluster Jalan Puncak Borneo (47 kes) dan Kluster Permatang Berangan (27 kes),” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram