Pembekuan darah: AS,EU henti sementara vaksin Covid-19 Johnson & Johnson

0
96
AS, Afrika Selatan dan Kesatuan Eropah menghentikan sementara pemberian vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson selepas laporan berlakunya pembekuan darah yang jarang berlaku.

AMERIKA SYARIKAT (AS), Afrika Selatan dan Kesatuan Eropah akan menghentikan sementara pemberian vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J) selepas laporan berlakunya pembekuan darah yang jarang berlaku.

BBC melaporkan, Pentadbiran Perubatan dan Makanan (FDA) AS berkata, sebanyak enam kes dikesan dalam lebih 6.8 juta dos vaksin itu.

Johnson & Johnson dalam reaksinya menghentikan sementara pemberian vaksin yang bermula pada minggu ini di Eropah.

Perkembangan itu menyamai kes serupa selepas pemberian vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca yang mencetuskan larangan kepada penggunaannya.

FDA berkata, pihaknya mencadangkan pemberhentian sementara vaksin itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang risiko.

Sebanyak enam kes pembekuan darah dikesan dalam lebih 6.8 juta dos vaksin Johnson & Johnson.

Agensi itu pada masa sama mengesahkan kematian seorang pesakit akibat komplikasi  pembekuan darah ketika pesakit lain dalam keadaan kritikal.

Kesemua enam kes membabitkan wanita berusia antara 18 hingg 48 tahun dengan simptom hanya muncul selepas 6 hingga 13 hari selepas divaksin.

Berikutan nasihat itu, kesemua lokasi persekutuan di AS berhenti menggunakan vaksin Johnson & Johnson sehingga selesai siasatan kepada keselamatannya selesai.

Negeri dan kontraktor swasta dijangka akan mengambil langkah serupa.

Amerika merekodkan jumlah kes Covid-19 paling banyak membabitkan lebih 31 juta orang dengan lebih 562,000 kematian.

Johnson & Johnson merupakan syarikat penjagaan kesihatan AS namun vaksin Covid-19 keluaran mereka kebanyakannya dibuat di cawangan firma itu di Belgium.

Tidak seperti vaksin lain, vaksin Johnson & Johnson hanya diberikan satu dos sahaja dan boleh disimpan pada suhu peti ais biasa menjadikannya mudah diedar ke negara beriklim panas atau kawasan terpencil.
 Ketika banyak negara telah membuat tempahan awal jutaan dos, vaksin itu hanya diluluskan di beberapa negara sahaja.

Penasihat utama Covid-19 AS,Dr Anthony Fauci dalam pada itu menyifatkan masih terlalu awal untuk bercerita tentang pembatalan pemberian vaksin berkenaan.

Afrika Selatan yang menjadi negara pertama meluluskan vaksin itu turut menangguhkan penggunaannya walaupun tiada kes pembekuan darah dilaporkan di negara itu.

Pertubuhan Kesihatan Dunia berkata akan memantau situasi itu selain menunggu laporan daripada badan pemantau AS dan EU.

Bagaimanapun penghantaran vaksin itu ke negara EU baru bermula dalam tempoh 24 jam sebelum J&J mengumumkan ia menghentikan sementara penggunaannya di negara tersebut.