WAKTU AKU KECIL DULU : PUASA JAMBU BOL

0
203

Bila perut tengah lapar, sedangkan waktu berbuka ada sejam dua lagi, saya sering teringat pada jambu bol. Kalaulah buka puasa ini dapat makan jambu bol. Cecah pula dengan sambal kicap. Aduhai… sedapnya.

Teringat dahulu, sebelum puasa, saya panjat pokok jambu bol di belakang rumah, bertenggek di atas dahan, makan daun pucuknya yang masam. Saya akan cium pucuk itu, harum. Segar.

Kemudian saya letak garam 2 – 3 biji, dan kunyah. Krup… krup… kruuuup…

Masam, kelat dan masin. Rasanya bergabung. Tekak terasa segar. Sebelum makan lagi air liur sudah berkolam di dalam mulut. Sedap sungguh.

Kemudian, saya petik buah jambu bol yang separuh masak. Bila digigit, jusnya yang masam, manis dan kelat itu mengalir ke tekak. Hisap sedikit airnya, kemudian gigit lagi. Aduhai…

Selepas dipetik, buah jambu bol itu kemudian saya potong-potong dan cecah dengan kicap yang dicampur cili serta gula. Masam, manis dan pedas. Belum sempat makan air liur sudah menitik macam air paip. Bila dimakan… Sedap yang amat. Ulamkan pula dengan daun pucuknya yang dicampur garam tadi.

Makin dimakan, makin terasa pedas. Tapi saya akan makan lagi sampai puas. Masam, manis dan pedas. Sampai terpejam biji mata dan berair hidung.

Macam mana nak hilangkan pedas? Saya cari asam jawa yang emak saya simpan dalam bekas tembikar. Taruh gula sikit. Makan dan hisap rasanya yang masam dan manis tadi.

Kalau tak hilang lagi… saya minum air sirap selasih. Taruh ais. Syruupp… syruupp…

Tapi waktu kecil dulu, menunggu waktu berbuka rasa macam hilang separuh nyawa. Macam rasa nak menangis. Akhirnya terlelap sambil berangankan jambu bol, kicap dan cili…

Oleh: Zulkarnain Zakaria

NOTA: Salam Ramadan Kareem dari kami di Mastika dan UtusanTV.