Ayob, isteri lawat anak staf IPD Muar dirawat akibat kanser

0
804

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menziarahi anak seorang pembantu tadbir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang kini dirawat akibat kanser retina di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam lawatan itu, Ayob Khan bersama isteri, Senior Asisten Komisioner Datin Zalena Mohd Ariffin meluangkan masa bertanya khabar kepada Norfazlena Afizal, 36, mengenai kesihatan anaknya Nur Aafiyah Mikayla, 2.

Nur Aafiyah disahkan alami kanser mata tahap empat sejak Mac lalu.

Ayob Khan dan isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor kemudian menyampaikan menyampaikan sumbangan hampir RM20,000 kepada Norfazlena.

Turut hadir sama suami Norfazlena, Mohd Asnadi Salleh, 35, yang bekerja menoreh getah.

Sementara menguruskan Aafiyah Mikayla di hospital, dua lagi anak mereka iaitu Nur Akilah Khalisah, 9, dan Nur Khairah Dannisyah, 8, dijaga ibu Mohd Asnadi di Kampung Simpang Lima Darat di Bukit Gambir, Johor.

Turut hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Johor Asisten Komisioner Razak Md Said dan pegawai kanan polis Johor.

Memetik Facebook Polis Johor, seluruh warga IPK negeri itu mendoakan agar Nur Aafiyah diberikan kesembuhan dan sihat seperti sediakala.

“Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan tanggungan keluarga ini bolehlah berhubung terus kepada penama disertakan iaitu Mohd Asnadi Sakeh @ Salleh di talian 013-6210525 dan akaun Maybank, 151342036651,” kata kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan:Hari pertama Ramadan, Ayob berbuka bersama anak buah di SJR

Dalam perkembangan berasingan, ketika ditemui pemberita kemudiannya, Ayob Khan menjelaskan, individu yang dikehendaki polis, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dipercayai masih berada di negara ini.

Menurutnya, setakat ini polis masih belum dapat mengesan lokasi ahli perniagaan dan Pengasas Winner Dynasty Group yang dalam buruan itu.

“Setakat ini, kedudukan belum dapat dikenal pasti lagi, tapi kita percaya dia masih dalam Malaysia.

“Kita juga telah meminta Jabatan Siasatan Jenayah dan JSJ Komersial Bukit Aman bagi mengesan suspek,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram