Islam mengajar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam persekitaran kita, bukan secara spontan. Sebaliknya kerana sebab-sebab dan mempunyai hikmah-hikmah tertentu yang perlu dikaji oleh manusia.
Allah memiliki segala kesempurnaan dan Maha Suci dari sebarang kelemahan. Segala ciptaan dan ketentuan Nya menggambarkan betapa hebatnya Allah dalam ciptaan. Tiada suatu pun yang berlaku dengan sia-sia.
Berbanding dengan reka cipta dan perancangan manusia, ia sentiasa menggambarkan kelemahan manusia itu sendiri, sehingga memerlukan perubahan demi perubahan sebelum mencapai tahap tertentu yang dilihat sebagai cemerlang.
Begitulah tabiat teknologi yang berkembang dalam dunia manusia hari ini. Suatu jurang yang sangat jauh antara ciptaan manusia yang serba kekurangan dengan ciptaan Allah yang menampakkan kehebatan Nya.
ISLAM MENGAJAR CARA MELIHAT SESUATU
Oleh kerana itu, Islam menggesa umatnya untuk melihat, meneliti dan mengkaji perkara-perkara yang berlaku dalam persekitaran ciptaan Allah. Firman Nya,
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” Surah al-Haj, ayat 46,
Gesaan di sini bukan sekadar melihat dengan pancaindera mata semata-mata, tetapi turut melihat dengan pintu hati untuk meneliti, mengkaji, mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara yang berlaku dalam persekitaran yang melingkungi kita.

Namun berapa ramai mesej ini boleh difahami sekali gus mencari jawapan pada persoalan-persoalan bagaimana ia berlaku? kenapa ia berlaku? sebab apa ia berlaku? dan sebagainya.
Persoalan-persoalan di atas merupakan petunjuk kehebatan Allah yang menjadikan manusia dalam bentuk ciptaan yang hebat. Istimewanya manusia apabila dibekalkan dengan fitrah atau sistem diri yang menggerakkan mereka untuk berfikir mengikut sepertimana yang dikehendaki Allah.
Pun begitu, segala suruhan atau gesaan Allah untuk berfikir tidak sampai membebankan dan di luar kemampuan manusia sebagaimana firman Nya,
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” Surah al-Baqarah: 286.
SOALAN-SOALAN FITRAH
Hakikatnya kejadian manusia itu penuh dengan tanda tanya. Dan kerana itu juga, kehidupan manusia dilingkari dengan beribu tanda tanya yang dilihat sebagai sesuatu yang fitrah. Kenapa? bagaimana? untuk apa? siapa? ke mana? dan sebagainya, semuanya akan menjurus kembali dalam mencari jawapan hebatnya Allah S.W.T.
Sebagai contohnya, seorang kanak-kanak yang mula mempunyai keupayaan bertutur dan berfikir, akan mula bertanyakan itu dan ini. Dan akhirnya ia akan mendapat satu jawapan bahawa setiap yang berlaku bukan dijadikan secara sia-sia.
“Hakikatnya soalan-soalan fitrah ini diprogramkan Allah kepada manusia untuk membawa mereka kepada hakikat aqidah atau hakikat siapakah Allah itu sendiri.”
Atau dengan kata lain, memandu manusia untuk mendapatkan jawapan kepada hakikat Rububiyyah Allah iaitu Allah itu wujud, Allah itu benar, Allah yang menentukan perkara ini, ia berlaku di atas kehendak Allah, dan Allah yang berkuasa menentukan segala sesuatu.
Seterusnya membawa kepada hakikat yang membawa manusia untuk memahami Uluhiyyah Allah iaitu tiada sebab untuk kita lari daripada Allah, tiada sebab untuk kita mengingkari Allah, tiada sebab untuk kita lawan Allah dan sebagainya.
MANUSIA MEMERLUKAN PANDUAN ALLAH
Bagi mendapatkan jawapan yang betul pada persoalan-persoalan fitrah ini, sudah tentu memerlukan kita kembali kepada al-Quran dan al-sunnah. Tanpa rujukan ini, manusia akan terus teraba-teraba dalam pencarian jawapan yang benar dan pasti.
Justeru, persoalan kenapa timbul pelbagai agama di dunia ini selain Islam, antara lainnya adalah hasil daripada pencarian manusia kepada jawapan terhadap persoalan-persoalan fitrah ini. Ia turut merangkumi persoalan seperti dari mana aku datang dan ke mana aku akan pergi selepas ini?
Realiti menunjukkan, apabila kita tidak mendapat jawapan yang benar terhadap persoalan ini atau kita membiarkan ia berlalu tanpa jawapan maka ia membawa kita kepada kehidupan yang teraba-raba di dalam kekeliruan dan kesesatan.

Disebabkan itulah Allah menjelaskan manusia yang di dalam kesesatan sebagai manusia yang berada di dalam kegelapan manakala mereka yang berada dalam kebenaran sebagai mereka yang berada di dalam cahaya sehingga mereka dapat nampak dan lihat jalan yang sepatutnya dilalui. Firman Allah dalam ayat 122, Surah al-An’am,
“Dan apakah orang yang sudah mati lalu kami hidupkan dan Kami beri dia cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah orang banyak, sama dengan orang yang berjalan dalam kegelapan, sehingga dia tidak dapat keluar dari sana? Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang kafir terhadap apa yang mereka kerjakan.”
Menerusi penjelasan di atas, ia memandu kita untuk memahami realiti fenomena yang berlaku seperti tragedi gempa bumi, tsunami, banjir besar, tanah runtuh, pemanasan global di seluruh dunia dan sebagainya.
Kesemua peristiwa ini bukanlah berlaku secara spontan atau sekadar fenomena alam semula jadi. Sebaliknya sudah dijelaskan di dalam al-Quran sekali gus membuka ruang untuk manusia mengenali Allah.
Ringkasnya, setiap persoalan itu ada jawapannya dan manusia hanya perlu bertanya untuk mendapat jawapan yang pasti.
Namun setiap jawapan itu perlu dipandu dengan dua risalah yang ditinggalkan kepada manusia iaitu al-Quran dan nas dan bukan berlandaskan akal semata-mata. Firman Allah dalam ayat 74-76, Surah al-Hijr,
“Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda. Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (dilalui manusia)”.
Dr. Mansor Sulaiman (Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang)
_______________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram