PKP dilaksanakan di Sandakan sehingga 30 April

0
179
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob/ Gambar media sosial

SELEPAS tujuh jajahan atau daerah di Kelantan dan lima lagi di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula esok, hari ini daerah Sandakan di Sabah turut diletakkan di bawah PKP selama dua minggu.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKP di Sandakan itu akan dilaksanakan bermula 17 sehingga 30 April ini ekoran peningkatan kes harian positif Covid-19 yang dikesan di daerah tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 46 kes baharu telah direkodkan sehingga hari ini di daerah berkenaan dengan secara kumulatif, sebanyak 6,806 keseluruhan kes dilaporkan di Sandakan.

Kata Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 78 kes juga telah direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti berkenaan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di daerah Sandakan, Sabah berkuat kuasa 17 April sehingga 30 April 2021.

“Pelaksanaan PKP ini antara lain untuk memastikan kadar penularan terkawal dan tidak menular dengan pantas ke kawasan lain dalam daerah mahu pun ke daerah berlainan,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 7 daerah di Kelantan, 5 di Sarawak dikenakan PKP

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan PKP di daerah Tawau, Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi selama dua minggu.

Katanya, sehingga kini KKM mengesahkan masih terdapat peningkatan kes aktif Covid-19 iaitu daripada 124 kepada 729 kes dalam tempoh 14 hari.

“KKM turut melaporkan banyak kes baharu dikesan dan 11 lokaliti di dalam daerah Tawau kini sedang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKP di Tawau bermula 17 sehingga 30 April 2021,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutkan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka ekoran masih berlaku penularan jangkitan di lokaliti tersebut.

Setakat ini, kata Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 1,710 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 191 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta menjangkakan akan berlaku pertambahan kes dari masa ke masa kerana masih ada saringan yang akan dilakukan dalam kalangan kontak rapat.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di lokaliti ini bermula 17 hingga 30 April 2021,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram