Tindakan tegas individu langgar SOP bazar Ramadan

0
103
Suasana Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang Kampung Baru. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan mulai hari ini.

Pada masa sama, polis turut memberi amaran kepada penganjur bazar Ramadan supaya meningkatkan tahap pematuhan SOP kepada pengunjung atau bazar berkenaan diarahkan ditutup.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, banyak SOP tidak dipatuhi terutama penjarakan fizikal berdasarkan pemerhatian polis sejak dua hari bazar Ramadan beroperasi.

“Ketua Polis Daerah serta anggota diarah mengambil tindakan tegas mulai sekarang terhadap individu melanggar SOP terutama di tempat tumpuan dan bazar Ramadan.

“Polis berharap masyarakat mematuhi SOP kerana kita tidak mahu timbul kluster baharu,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Baca artikel berkaitan: PBT diberi kuasa kompaun ingkar SOP bazar Ramadan

Sementara itu, Arjunaidi turut memaklumkan, polis akan memperketatkan serta memberi lebih penelitian terhadap borang kebenaran rentas negeri.

“Bukit Aman mengarahkan kita lebih teliti terhadap semua permohonan rentas negeri. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang terbabit dalam urusan pekerjaan, pendidikan, kecemasan serta kematian.

“Selain itu, kita juga mungkin akan menambah sekatan jalan raya (SJR) sekiranya perlu terutama pada hari minggu kerana kita mengesan banyak pergerakan dilakukan dalam tempoh itu,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memberitahu penguatkuasaan pematuhan SOP oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri termasuk yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT.

Menurut KPKT, PBT akan menempatkan sekurang-kurangnya empat anggota mengikut saiz dan kapasiti bazar bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP.

“Tugas kawalan di laluan masuk dan keluar serta rondaan akan turut dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam memastikan keadaan bazar adalah terkawal, tidak sesak dan semua pengunjung dapat mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menurunkan kuasa mengkompaun kepada PBT berkuat kuasa semalam untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar-bazar Ramadan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram