Beri mesej menginsafkan dalam Sedar Ku

0
894

MENYAMBUT kehadiran bulan Ramadan dengan penuh kesyukuran, empat artis baharu naungan Indigital Music hadir dengan buah tangan terbaru khusus untuk semua pendengar iaitu Sedar Ku.

Jika diamati bait-bait lirik single tersebut, bukan sahaja memberikan nasihat tetapi dalam masa yang sama mendekatkan diri dengan Tuhan seperti mana yang dituntut oleh-Nya.

Bagi Syahmi Irfan, Syafiq Naser, Aliff Iskandar dan Killa Driz, mesej yang dititipkan melalui Sedar Ku bukan sahaja membawa mereka terkenangkan kembali perjalanan hidup yang telah dilalui tetapi juga membuatkan sesiapa sahaja mahu menjadi insan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Memang benar, perjalanan hidup kita berbeza dan apa yang dilalui juga tidak sama dengan orang lain. Apabila membaca dan ‘menghadam’ sendiri kisah yang ditulis melalui lagu ini, membuatkan saya terfikir banyak perkara.

“Apa yang telah kita buat selama ini? Adakah cukup amalan dan kebaikan kita? Semua ini bermain di fikiran dan membuatkan saya perlu melakukan sesuatu sebelum terlambat,” kata Syafiq yang popular dengan lagu Lenggang.

sedar ku
Sedar Ku menyedarkan semua orang tentang kehidupan yang singkat dan dekatkan diri dengan Tuhan

Baginya, lirik yang ditulis oleh Iman Imran dan Killa Driz itu begitu menusuk hatinya dan pendapat itu turut dipersetujui oleh Syahmi yang menganggap lagu tersebut sebagai sebuah karya yang membawa sesiapa sahaja berfikir sejenak dengan perjalanan hidup sendiri.

Ditambah dengan kehadiran bulan Ramadan yang baharu sahaja menjelma, lagu itu bagaikan memberikan kesedaran tetapi dalam masa yang sama ‘menyucikan’ jiwa untuk terus mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Kita mungkin terlalu sibuk mengejar banyak perkara tetapi dalam masa yang sama terlupa dengan kekurangan dan kekhilafan yang dilakukan. Jadi dengan adanya ‘ingatan’ melalui lirik sebegini, ia dapat memberikan kesedaran kepada semua.

“Saya gembira dapat bersama dengan rakan-rakan yang lain menyanyikan lagu ini. Ia satu penghormatan besar untuk penyanyi baru seperti kami,” ulas Syahmi yang pernah merakamkan lagu Mungkir bersama Aufahanie sebelum ini.

Bercerita lanjut tentang jalan cerita lagu terbabit, Sedar Ku yang berkisahkan tentang nafsu, amarah dan noda yang biasanya bersembunyi di sebalik perkataan cinta.

Segala-galanya ditolak ke tepi saat cinta menguasai hidup padahal kita perlu meletakkan cinta kepada Yang Maha Esa di hadapan berbanding dengan perkara lain.

Lagu berentak balada hasil ciptaan Natasyah, Mazlan Setapa dan Hafiz Dot itu dilancarkan secara rasmi pada 9 April lalu di semua platform digital dan boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.

Hakikat itu turut diakui oleh Aliff yang popular dengan lagu Perit. Jelasnya, kehadiran bulan yang penuh dengan rahmat ini bukan sahaja perlu disyukuri oleh semua umat Islam tetapi dalam masa yang sama meninggalkan perkara yang kurang baik.

“Kita perlu saling ingat mengingati antara satu sama lain memandangkan hidup ini terlalu singkat untuk terus berbuat dosa. Ingatan itu bukan sahaja melalui nasihat atau ceramah semata-mata sebaliknya boleh melalui apa sahaja medium termasuk lagu dan sebagainya.

“Sedar Ku banyak menitipkan nasihat dan ingatan. Ini sedikit sebanyak membuatkan sesiapa sahaja terfikir dengan mesej yang disampaikan. Saya berharap semua yang mendengar dapat mengambil sesuatu daripada lirik yang hendak disampaikan,” kata penyanyi yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini.

Bagi Killa pula, dia beruntung kerana berpeluang bersama penulis lirik, Iman bagi menghasilkan lirik rap untuk lagu itu.

Segalanya dicerna dengan mudah memandangkan asas utama lirik ini sudah dibuat terlebih dahulu oleh penulis berpengalaman itu.

“Semua orang melakukan dosa dan semua orang juga akan menyesal dengan apa yang telah terjadi. Jadi berdasarkan pengalaman yang dilalui, saya tulis lirik rap untuk menyedapkan lagu ini. Harapnya semua orang dapat menerima mesej yang sama mahu berikan,” tuturnya yang baru sahaja melancarkan lagu Siapa Tahu dan Kene Sidai baru-baru ini.

Sedar Ku turut dimuatkan dalam lagu runut bunyi (OST) untuk drama Bila Syaitan Berbisik yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis, bermula 12 April, pukul 11 malam di Astro Ria.