Ini beza BELUM ISLAM dengan KAFIR. Ikuti penjelasannya

0
112
belum islam dengan kafir

Dalam konsep Islam tidak ada istilah lahir Islam sekalipun telah diazan, iqamah, berkhatan dan sebagainya. Sekalipun seseorang itu telah menerima pendidikan Islam sejak kecil, bahkan mendalami ilmu tahfiz tetapi ada juga yang berkelakuan tidak sepertimana akhlak Islam.

Jadi walaupun dia lahir dalam keluarga Islam dan menerima pendidikan Islam, itu tidak mencerminkan dia Islam 100 peratus kerana hakikatnya, hidayah itu masih perlu berusaha untuk memilikinya.  Islam itu letaknya di hati bukan pada IC (kad pengenalan).

Lihat sahaja fenomena yang berlaku dalam dunia hiburan kini. Semakin ramai artis yang berhijrah. Bukankah mereka sememangnya lahir dalam keluarga Islam, dan sudah tentu menerima pendidikan Islam.

Tetapi bandingkan bagaimana akhlak mereka dahulu dan sekarang. Ini menjelaskan lagi bahawa Allah memberikan hidayahnya kepada kita kerana kecenderungan usaha kita untuk memahami Islam. Dan taufik adalah kecenderungan kita berusaha untuk memperbaiki diri serta melakukan kebaikan.

Islam itu letaknya di hati bukan pada I/C

Mereka yang berhijrah merupakan satu perkara yang baik kerana ramai di kalangan anak muda yang menjadikan artis sebagai ikutan. Tetapi pada masa yang sama, ia juga mendatangkan bahaya kerana, apabila ia dijadikan sebagai ikutan, ditakuti ramai yang turut mengikut apabila mereka berubah.

Secara tidak langsung para peminat tadi akan turut mengikut apa yang mereka kata, dan apa yang mereka lakukan, sekalipun ilmunya masih cetek dan tidak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah.

Sebagai sesama muslim kita bersyukur, dan berdoa supaya ramai lagi yang akan turut berubah kerana ini menunjukkan Islam makin subur di Malaysia. Perkembangan ini juga menunjukkan semakin ramai yang terbuka hati, dan mempunyai kesedaran untuk menerima kebaikan yang dibawa Islam.  

Namun kesedaran tanpa ilmu yang mencukupi, dan tidak memahami ilmu dengan sebaiknya, sekalipun sudah faham tetapi tidak mengamalkannya, juga turut mendatangkan masalah dan bahayanya tersendiri.

Beza kafir dengan belum Islam

Dalam pada itu melihat kepada orang bukan Islam yang menetap jauh di pedalaman dan tidak mendapat mesej tentang Islam, seperti orang asli yang duduk jauh di dalam hutan. Adakah mereka akan juga turut dihukumkan sebagaimana orang kafir?

Menjawab persoalan ini rujuklah Surah al-Isra’ ayat 15 yang jelas menyatakan,

“Barang siapa yang mengikut hidayah (Allah) maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia menanggung sendiri (kerugian) akibat dari kesesatan dirinya sendiri. Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan kami tidak akan mengazab sebelum kami mengutuskan seorang rasul.”

Tugas umat Islam menyampaikan dakwah kepada bukan Islam

Persoalannya di sini adakah kita sudah menjelaskan tentang Islam kepada bukan Islam, sehingga kita sewenang-wenangnya menghukumkan mereka sebagai kafir? Ingat, Allah itu Maha Adil kepada setiap hamba-Nya.

Kita perlu jelas siapa sebenarnya yang digelar sebagai kafir. Golongan ini dirujuk sebagai mereka yang menolak mesej Islam setelah didatangkan keterangan yang nyata kepada mereka perihal Islam.

Dalam kategori ini, Abu Jahal dan Abu Lahab jelas adalah seorang kafir, kerana menolak dengan keras ajaran Islam, bahkan menghalalkan darah Baginda s.a.w. untuk ditumpahkan.

Namun senario di Malaysia, adakah kita sudah terangkan secara jelas mesej berkaitan Islam kepada bukan Islam? Adakah mereka yang bukan Islam ini menentang Islam? Adakah mereka kata ajaran Islam itu tidak baik?

Jawapannya sudah tentu tidak. Maka adakah mereka dihukumkan kafir sekalipun tidak menentang Islam.

Justeru itu yang menjadi masalahnya, sejauh mana kita sebagai individu Muslim telah menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada mereka. Bukankah itu tugas kita kerana Baginda s.a.w. telah berpesan kepada umatnya dengan katanya,

Sampaikanlah dariku walau satu ayat,” – (HR Ahmad & Bukhari)

Adakah kita sudah sampaikan?

Oleh itu selagimana kita tidak menyampaikan, maka janganlah menghukumkan seseorang sebagai kafir.

Benar hidayah itu perlu dicari, tetapi tugas kita sebagai orang Islam juga adalah wajib menyampaikan Islam yang sebenar-benarnya kepada orang yang berada disekeliling kita, kerana Allah tidak akan menyoal kita tentang apa yang telah orang lain lakukan, tetapi Allah pasti akan menyoal kita tentang apa yang kita lakukan. Pastikan kita sudah mempunyai jawapan terhadap soalan Allah di akhirat nanti.

“Allah S.W.T. juga tidak akan tanya apa yang kita telah dakwahkan kepada mereka yang berada di hutan, ceruk, kutub utara atau di Amazon sekalipun kerana kita tidak pernah pergi.”

Tetapi apa yang Allah tanya apa yang telah kita dakwahkan pada orang berada di sekeliling kita, seperti keluarga, sanak saudara, kawan-kawan. Surah at-Tahrim ayat 6,

Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak menderhaka kepada Allah terhadap apa yang dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Dalam bab politik kitalah jaguhnya. Kita boleh bercakap apa sahaja. Tetapi dalam bab Islam hanya diam membatu sahaja kerana malu atau kurang ilmu. Maka jadikanlah alasan malu itu sebagai jawapan untuk bertemu Allah nanti. Rasanya adakah Allah akan terima atau tidak jawapan kita, tepuk dada tanyalah iman.

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram