Mangsa love scam lebur RM200,000 angkara cinta ‘Datuk’

0
478

JERAT cinta online atau ‘Love Scam’ bukan cerita baharu. Namun dari semasa ke semasa, ada sahaja yang berjaya diperangkap menjadi mangsa love scam.

Kerugian yang dialami setiap mangsa pula bukan sedikit malah beratus ribu ringgit.

Ini seperti yang berlaku dalam kes terbaharu melibatkan seorang ibu tunggal berusia awal 40-an tahun di Kelantan.

Sikit demi sedikit, mangsa menyerahkan wang kepada kekasih dalam taliannya yang konon bergelar ‘Datuk’.

Akhirnya mangsa yang merupakan penjawat awam kerugian RM223,010 sebelum sedar yang dia sebenar mangsa Love Scam

Lebih tragis, bukan hanya simpanannya di Tabung Haji (TH) habis bahkan turut lebur barang kemas dan simpanan anaknya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa berkenalan dengan suspek yang kononnya menetap di Amerika Syarikat menerusi Facebook pada November tahun lalu.

“Mangsa dan suspek kemudiannya meneruskan hubungan menggunakan aplikasi WhatsApp dan lebih kurang dua bulan selepas itu suspek memberitahu ingin menjalinkan hubungan lebih serius serta berhasrat untuk berkahwin.

“Pada Januari lalu, suspek menyatakan dalam proses berpindah ke Malaysia untuk bekerja dan mendakwa kad kreditnya mengalami masalah untuk digunakan.

“Sehubungan itu, suspek meminta wang daripada pengadu untuk pelbagai tujuan dan antara Januari hingga 9 April lalu, mangsa sudah membuat sekurang-kurangnya 59 transaksi pembayaran ke 10 akaun bank milik individu berbeza dengan jumlah RM223,010,” katanya kepada pemberita hari ini.

Baca artikel berkaitan: 20 kali masuk duit, lama-lama lesap RM200,000 diperdaya love scam

Jerat Love Scam, lebur wang ibu diserah kepada penyamun

Dalam laporan BH Online itu, Shafien berkata, sumber wang mangsa adalah daripada simpanan bank termasuk TH miliknya dan anak serta jualan barang kemas.

Selain itu, ia juga hasil jualan kereta yang dihadiahkan oleh bekas suaminya dan pinjaman daripada bapa serta abang pengadu serta pinjaman bank.

Beliau berkata, wanita itu disyaki ditipu apabila suspek meminta wang RM1,700 dengan alasan kononnya ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak memakai pelitup muka dan dikenakan kompaun RM1,000 serta perlu membayar RM700 sebagai kos perbelanjaan semasa ditahan.

“Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

“Sepanjang tahun ini, sebanyak empat kes dilaporkan berkaitan Love Scammer dan ini adalah kerugian paling besar yang dilaporkan.

“Saya menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan janji manis individu yang baharu dikenali di laman sosial kerana itu adalah modus operandi scammer yang akhirnya akan membawa kepada kerugian,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram