40 barisan hadapan dijangkiti Covid-19 selepas terima vaksin

0
348
noor hisham
Noor Hisham Abdullah

SERAMAI 40 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dikesan dijangkiti Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah tersebut, sebanyak sembilan kes dijangkiti lebih daripada dua minggu selepas menerima dos kedua.

Pada masa sama, 31 lagi kes dikesan telah dijangkiti Covid-19 kurang daripada dua minggu selepas disuntik dos kedua vaksin.

Kata Dr. Noor Hisham, seramai 142 barisan hadapan pula dikesan dijangkiti Covid-19 selepas memperoleh suntikan dos pertama namun kesemua mereka mempunyai gejala kurang teruk.

“Walaupun vaksin memberikan harapan untuk membendung Covid-19, jangan beranggapan kita boleh mengabaikan langkah kesihatan awam selepas divaksinasi.

“Jelas bahawa kita masih boleh dijangkiti walaupun setelah selesai proses vaksinasi tetapi mungkin kurang teruk.

“Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat. Harap terus mematuhi langkah kesihatan awam termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan berjaga-jaga,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kadar kebolehjangkitan terus meningkat, 7 negeri atasi nasional

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) mengikut kes seharian seluruh negara terus menunjukkan trend peningkatan selepas mencatatkan 1.18 semalam.

Enam negeri mencatatkan kadar Rt melebihi nasional dengan tertinggi direkodkan di Terengganu iaitu 1.34 diikuti Kelantan (1.30) dan Sarawak 1.28.

Tiga lagi negeri kata Dr. Noor Hisham adalah Sabah dan Kuala Lumpur yang masing-masing mencatatkan 1.22 manakala Putrajaya pula merekodkan 1.19.

“Rt di negeri lain pula ialah Selangor (1.04), Pulau Pinang (0.90), Johor (0.95), Melaka dan Perak (1.09), Negeri Sembilan (1.08), Kedah (1.07) dan Pahang (1).

“Terdapat dua kes Covid-19 direkodkan di Perlis dan satu di Labuan,” katanya dalam hantaran berasingan hari ini.

Berdasarkan carta, kadar kebolehjangkitan COVID-19 boleh melonjak kepada Rt 2 menjelang Mei jika amalan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan virus itu tidak dipatuhi.

KKM sebelum ini menjangkakan negara bakal mencapai kadar kurang Rt 1 menjelang bulan depan.

Namun, Isnin lalu, KKM mengakui unjuran kes Covid-19 kepada 500 menjelang Mei sukar dicapai kerana kemerosotan terhadap pematuhan SOP.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram