Polis buru dalang pembikinan 2 video judi raya

0
387
dang wangi
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah

POLIS sedang memburu seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai ejen kepada pembikinan dua video judi raya secara dalam talian yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki berusia 35 tahun itu dikehendaki kerana dipercayai terbabit dalam menyebar video mempromosikan perjudian dalam talian.

POLIS sedang memburu Loh Kee Hoe bagi membantu siasatan.

“Terbaharu, kita telah menahan seorang suspek yang kita percaya boleh membantu siasatan dalam kes tersebut. Kita ada maklumat seorang lelaki bernama Loh Kee Hoe berumur 35 tahun, kita percaya boleh membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar IPD Dang Wangi hari ini.

Memetik laporan AstwoAwani, beliau berkata, dua daripada lapan individu yang ditahan di sekitar ibu kota berkaitan klip video itu direman mulai hari ini hingga 21 April.

“Enam orang lagi kita tidak dapat tahan reman kerana ditolak oleh Majistret. Mereka ini hanyalah pelakon, mereka berikan kerjasama dan peguam mereka berjanji untuk beri kerjasama apabila diperlukan,” katanya.

Dua individu itu, tambah Mohamad Zainal, ialah penerbit dan jurukamera yang dipercayai terlibat dalam pembikinan video pertama judi raya yang tular sejak semalam.

BERITA BERKAITAN Iklan raya promosi judi: Perbuatan biadab! Penerbit datang dari ‘hutan’ mana?

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selepas kecoh dan tular satu video mengenai kempen berjudi secara dalam talian bagi mencari ‘duit raya’ baru-baru ini, semalam timbul pula satu lagi video yang hampir sama.

Iklan berdurasi tiga minit 19 saat itu turut memaparkan ‘jalan cerita’ yang lebih kurang sama dengan video pertama, seolah-olah ‘menggalakkan’ orang ramai dirundung masalah untuk ‘mencuba nasib’ bagi memastikan hari raya lebih ceria.

Bukan sahaja cuba mencetuskan provokasi terhadap kesabaran orang ramai, malah penghasilan iklan sebegini juga ternyata menyinggung sensitiviti umat Islam ketika Ramadan baru memasuki hari kelima.

Operator judi dalam talian itu juga malah dipercayai menggunakan pelakon beragama Islam dalam video tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram