Hampir 450,000 terima dua dos suntikan vaksin Covid-19

0
34
Dr. Adham Baba. GAMBAR: Facebook Dr. Adham Baba

SERAMAI 438,220 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, seramai 687,176 individu telah pun menerima dos pertama vaksin tersebut.

Kata Adham, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin telah mencecah 1.13 juta dos setakat semalam.

Bagi pemberian dua dos vaksin, kata Adham, Selangor masih menjadi negeri penerima tertinggi iaitu sebanyak 63,126 diikuti Perak (48,795), Sabah (43,033) dan Kuala Lumpur (38,642).

Katanya, ia diikuti Sarawak iaitu seramai 33,291 individu; Pahang (33,174); Pulau Pinang (31,585) dan Johor (30,829).

“Seramai 26,062 telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 di Kedah; 22,058 di Negeri Sembilan; 20,551 (Terengganu) dan 19,501 (Kelantan).

“Di Melaka pula, seramai 11,087 telah menerima dua dos vaksin manakala masing-masing sebanyak 9,473; 4,696 dan 2,319 telah memperoleh vaksin di Perlis, Putrajaya dan Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: 40 barisan hadapan dijangkiti Covid-19 selepas terima vaksin

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Selangor juga menjadi penerima dos pertama vaksin Covid-19 tertinggi iaitu seramai 97,416.

Beliau memaklumkan, ia diikuti seramai 78,086 di Kuala Lumpur; 67,624 (Sarawak); 63,295 (Johor) dan 56,295 di Perak.

“Bagi jumlah pendaftaran untuk PICK pula, seramai 8.90 juta individu telah pun mendaftar merangkumi 36.40 peratus daripada populasi.

“Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu seramai 2.35 juta diikuti Johor (1.11 juta); Sarawak 810,781; Kuala Lumpur (716,048) dan Perak (652,964),” jelas beliau.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram