Ketepi fahaman politik, Pemuda UMNO Titiwangsa raikan semua parti Melayu

0
398
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin (berdiri, kiri) bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, Abdul Rahman hamzah (berdiri, tengah) beramah mesra dengan sebahagian Pemuda-Pemuda Parti Politik ketika hadir ke Majlis Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa bersama Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, ARMADA Titiwangsa, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda AMANAH di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DALAM keadaan ramai sedang memerhati ‘keretakan’ hubungan politik di antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa mengambil langkah berani menyatukan semua parti politik Melayu dalam satu majlis. 

Walaupun sering ‘berbalah’ dalam pentas politik, namun Pemuda UMNO Titiwangsa berjaya mengumpulkan pergerakan pemuda daripada Pas, Bersatu, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada bahagian Titiwangsa dalam Majlis Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah. 

Mungkin pertama kali dalam sejarah namun semangat keterbukaan semua parti yang hadir harus dipuji sekali gus menunjukkan Islam boleh menyatukan walaupun berbeza fahaman politik.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin, majlis tersebut boleh disifatkan sebagai titik permulaan ke arah kerjasama lebih kukuh antara semua parti politik Melayu bagi menjamin masa depan negara. 

Kata Nazir Hussin, Pemuda UMNO Titiwangsa sentiasa bersikap terbuka dengan mengetepikan sentimen politik asalkan semua parti politik yang terlibat mendukung aspirasi menegakkan Islam. 

Beliau berkata, perbezaan fahaman politik yang berlaku sejak sekian lama telah menyebabkan orang Melayu dan Islam berpecah-belah sekali gus merugikan negara. 

“Tujuan kita mengadakan majlis seperti ini bagi mengambil keberkatan bulan Ramadan untuk mengeratkan silaturrahim dan meredakan suasana politik yang berlaku sekarang. Kita yakin ini masa terbaik untuk duduk satu meja mengorak langkah untuk masa depan lebih gemilang. 

“Politik ini dinamik dan sentiasa berubah. Hari ini boleh duduk sekali esok mungkin duduk di luar. Hari ini UMNO tidak dominan mungkin esok akan dominan. Apa-apa pun kita kena cari jalan kerana selagi tak duduk bersama, kita tak akan jumpa titik penyatuan itu. 

“Kita lihat rakyat pun memang mendambakan perkara sama terutama melibatkan semua parti politik Melayu Islam untuk bersatu membina negara,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Iftar Ukhwah Islamiyah, hari ini. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin mengadakan sidang media pada Majlis Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa bersama Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, ARMADA Titiwangsa, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda AMANAH di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: UMNO-Pas masih ‘cium mulut lagi’ kata Tok Mat

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi; Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Rashidi Abd. Razak dan Ketua Dewan Pemuda Pas Titiwangsa, Abdul Rahman Hamzah. 

Selain itu, wakil daripada parti lain iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut hadir dalam majlis berkenaan. 

Mengulas lanjut, Nazir Hussin berkata, Pemuda UMNO Titiwangsa tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pun asalkan mendukung aspirasi yang sama iaitu demi Melayu dan Islam. 

Nazir Hussin malah mengharapkan usaha yang dijelmakan oleh Pemuda UMNO Titiwangsa itu dapat direalisasikan di peringkat tertinggi antara semua parti politik Melayu Islam. 

“Itu yang saya harapkan tidak kira mungkin nanti terbentuk satu jajaran atau gabungan baharu di peringkat tertinggi. Apa yang penting semua parti Melayu Islam perlu duduk semeja berbincang dan cari jalan,” jelas beliau. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram