Lelaki Islam ini korbankan hidupnya demi menjaga anak-anak sakit kronik termasuk yang dibuang keluarga sendiri

0
92

Menjaga kanak-kanak yang cacat dan perlukan perhatian yang rapi sedangkan anak itu tiada pertalian darah, tidak semua orang sanggup untuk melakukannya.

Berlainan dengan lelaki bernama Mohamed Bzeek, 66, yang telah menjadi bapa angkat kepada lebih 80 kanak-kanak sakit sejak 30 tahun yang lalu. Kanak-kanak ini didiagnosis dengan penyakit parah yang tidak dapat disembuhkan di mana prognosisnya adalah kematian.

Bzeek diketahui sebagai satu-satunya keluarga angkat yang sanggup menerima anak-anak cacat dan sakit ini yang tiada tempat, malah ada antaranya dibuang keluarga sendiri.

Atas jasa dan keprihatinannya itu, Bzeek dianggap sebagai wira tempatan di Los Angeles. Malah, ramai yang menggelarnya sebagai ‘The Muslim Mother/Father Theresa’.

Tidak ramai yang sanggup menjadi bapa angkat kepada anak-anak yang sakit kronik ini seperti dilakukan Bzeek.

Selama lebih tiga abad, Bzeek telah menjadi bapa angkat yang setia dan penuh cinta dengan mengasuh anak-anak cacat yang menderita sakit kronik.

Bzeek merupakan seorang lelaki Muslim kelahiran Libya. Pada tahun 1978, bekas pelari maraton ini berhijrah ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Di situ, dia bertemu dengan isterinya, Dawn dan kemudian menjadi warganegara pada tahun 1997.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan ini sepakat untuk mendedikasikan hidup mereka – memelihara dan merawat anak-anak yang sakit khususnya mereka yang menunggu saat kematian. Kebanyakan anak-anak ini ditinggalkan atau dilahirkan oleh ibu yang ketagihan dadah.

Bzeek dan isterinya telah menjadi ibu bapa angkat bermula sekitar awal 1980-an lagi. Difahamkan, sebelum mereka bertemu lagi, isterinya sudah terlebih dahulu melakukan kerja-kerja amal tersebut. Antara sumbangan awal isterinya ialah dengan menjadikan rumahnya sebagai tempat perlindungan untuk kanak-kanak yang memerlukan penempatan segera dan pemerhatian sewajarnya.

Selama hampir tiga dekad, dia dan isterinya mengambil ramai anak angkat yang sakit. Sepuluh orang daripadanya telah meninggal dunia. Walau tiada ikatan darah, kasih sayang dan harapan yang diberikan kepada anak-anak tersebut tidak pernah berbelah bahagi.

Salah seorang kanak-kanak yang dijaga Bzeek.

Kata Bzeek kepada Los Angeles Times ketika ditemubual satu ketika dulu, kuncinya ialah anda perlu mencintai mereka seperti anak sendiri.

“Saya tahu mereka sakit. Saya tahu mereka akan meninggal dunia. Saya hanya melakukan yang terbaik sebagai manusia dan selebihnya diserahkan kepada Tuhan,” kata Bzeek.

Imbau lelaki ini, kali pertama anak angkatnya meninggal dunia adalah pada tahun 1991, anak seorang pekerja ladang yang dilahirkan dengan gangguan tulang belakang. Belum berusia setahun, dia telah meninggal dunia di mana ketika itu Bzeek sedang menyiapkan makan malam. Ternyata, kehilangannya benar-benar membuatkan Bzeek sedih. Hanya sekeping foto menjadi pengubat rindunya pada anak itu.

Menjelang pertengahan tahun 1990-an, Bzeek memutuskan untuk menjaga seorang anak lelaki yang mengalami sindrom pendek dan buta. Disebabkan penyakitnya itu, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke hospital sebanyak 167 kali sepanjang usianya lapan tahun.

Selain itu, Bzeek juga pernah menjaga seorang anak perempuan dengan kecacatan otak. Dia begitu kecil sehingga ketika meninggal dunia, kerandanya hanya sebesar saiz kotak kasut. 

Bzeek turut merawat anak biologinya, Adam, yang dilahirkan pada tahun 1997 dengan penyakit tulang rapuh dan kerdil. Dia seorang kanak-kanak yang sangat rapuh sehingga apabila menukar lampin atau stokingnya boleh memecahkan tulangnya.

Foto Bzeek bersama anak kandungnya, Adam yang dilahirkan dengan penyakit tulang rapuh.

Bzeek menerima keadaan anak kandungnya dengan sabar. Beliau pasrah kerana Tuhan sudah menciptakannya seperti itu. Syukur, Adam seorang pejuang sama seperti anak-anak yang pernah diambil tinggal bersama mereka.

Adam kini sudah berusia awal 20-an dengan berat hampir 30 kilogram, memiliki mata besar berwarna coklat dan senyuman malu. Adam juga mempelajari sains komputer di sebuah kolej dan memandu sendiri kerusi roda elektriknya untuk ke kelas.

Namun, belum pun reda dengan banyak kesedihan, iman Bzeek diuji lagi pada tahun 2015. Kali ini, isterinya pula meninggal dunia selepas menderita kanser paru-paru.

Walaupun setelah ketiadaan isterinya, sehingga sekarang Bzeek masih meneruskan kerja-kerja amalnya. Malah, dia adalah satu-satunya bapa angkat di bandar raya tersebut yang peduli dan sudi untuk merawat anak-anak yang sakit.  

Bzeek masih meneruskan kerja amalnya walaupun selepas ketiadaan isterinya.

Beberapa tahun lalu, Bzeek turut merawat seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilahirkan dengan ensefalocele, iaitu kecacatan yang menyebabkan bahagian otaknya menonjol melalui lubang tengkoraknya. Dia tidak dapat melihat atau mendengar. Hanya bertindak balas jika disentuh.

Dr Suzanne Roberts, pakar kanak-kanak perempuan di Hospital Kanak-kanak Los Angeles berkata, gadis kecil itu mungkin sudah meninggal dunia jika bukan kerana kesudian Bzeek menjaganya.

Melissa Testerman, koordinator penempatan anak-anak berpenyakit di Department of Children and Family Services mengatakan, jika anak-anak malang itu dibenarkan keluar dari hospital, hanya ada satu nama yang boleh menjaga mereka iaitu Bzeek.

Bzeek berkata, dia bukan malaikat mahupun seorang pahlawan. Apa yang dilakukannya hanya atas dasar kemanusiaan dan betul-betul dating dari hatinya sendiri.

Bzeek juga gembira kerana dapat membantu anak-anak itu. Walaupun sebahagiannya sudah meninggal dunia, namun kenangan bersama anak-anak jagaannya masih bersamanya sehingga ke hari ini.

Kadangkala Bzeek akan menziarah kubur anak-anak angkatnya.

____________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.